OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 5 JUL: Langkah kerajaan meminda had umur mengundi kepada 18 tahun disambut baik Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor.
ADN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, bagaimanapun kerajaan perlu memberi lebih banyak pendedahan atau akses untuk golongan muda untuk mengetahui tentang proses demokrasi dan pengetahuan asas berkaitan sistem pentadbiran negara.
“Saya menyambut baik langkah ini kerana banyak negara maju lain turut memberi hak mengundi kepada mereka berumur 18 tahun.
“Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan sebelum 18 tahun lagi mereka mendapat akses kepada pengetahuan asas tentang demokrasi seperti proses mengundi, kerajaan dan hal berkaitan kerana kita tidak mahu golongan muda ini ada yang tidak dapat membezakan antara Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.
Jamaliah berkata, isu kematangan tidak timbul sama sekali kerana ianya adalah satu perkara yang subjektif dan tidak boleh diukur melalui umur seseorang.
Katanya, beliau yakin kerajaan telah membuat kajian mendalam sebelum membentangkan pindaan ini di Parlimen.
ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula berkata, langkah ini satu usaha ke arah perubahan lebih progresif dan demokratik di bawah era pentadbiran Malaysia Baharu.
“Saya menyambut baik cadangan ini kerana sebahagian besar penduduk negara adalah terdiri daripada anak muda.
“Mereka wajar diberi ruang seluasnya untuk menentukan corak masa depan negara dengan menentukan kepimpinan negara melalui pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya.