Categories
NASIONAL

APMM menyamar nelayan tangkap bot asing

KUCHING, 9 JUL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperluaskan kaedah penguatkuasaan membabitkan anggotanya menyamar sebagai nelayan tempatan bagi menangkap bot nelayan asing yang menceroboh perairan Sarawak.

Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Robert Teh Geok Chuan berkata, kaedah penguatkuasaan itu berjaya dilaksanakan sekitar perairan zon Kuching sejak Mac lepas dengan kerjasama nelayan tempatan berikutan agensi itu kekurangan aset bagi mencegah pencerobohan nelayan asing seluruh perairan negeri ini.

“Saya sudah maklumkan kepada pengarah ( Maritim) zon Miri, Bintulu dan Tanjung Manis untuk menjalin kerjasama ini dengan para nelayan, kerana aset kita kurang,” katanya pada sidang media mengenai penangkapan nelayan asing dari Vietnam di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas, di sini, hari ini.

Teh mengulas kenyataan Pengerusi Pesatuan Nelayan Sarawak (Penesa), Jam Hajimi baru-baru ini bahawa pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak menjejaskan penangkapan ikan di Miri, Bintulu dan Sibu.

Beliau berkata, anggota penguatkuasa agensi itu yang menyamar sebagai nelayan akan mengikut nelayan tempatan keluar menangkap ikan menggunakan bot mereka.

Katanya, anggota terbabit kemudian akan bertindak menaiki bot nelayan asing yang ditemui menangkap ikan di perairan negeri ini dan membawa bot itu ke pelabuhan agensi itu.

Beliau berkata, setakat ini empat bot nelayan asing berjaya ditahan mengunakan kaedah terbabit di zon Kuching.

“Sekarang nelayan asing dari Vietnam sudah takut dengan nelayan dari Kuching ini, kerana tidak tahu yang mana satu nelayan yang ada penguat kuasa kami,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah mula berusaha memperluaskan kaedah penguatkuasaan terbabit di zon Bintulu, zon Tanjung Manis di Sibu dan selepas itu ke zon Miri dan berharap nelayan tempatan di semua zon berkenaan bekerjasama bagi menangkap nelayan asing yang menceroboh perairan negeri ini.

Mengenai penangkapan nelayan asing dari Vietnam, beliau berkata empat bot ditahan pada 7 Julai lepas di Tanjung Sirfik dengan 58 tekong dan awak awak membabitkan nilai rampasan ikan, bot dan kelengkapan berjumlah RM6 juta.

— BERNAMA