Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat lulus RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi had umur minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan suatu pertubuhan belia berdaftar, dengan tidak kurang daripada 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menggulung perbahasan RUU itu menjelaskan pindaan berkenaan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti dakwaan sesetengah pihak kerana telah melalui siri perbincangan sejak 2010.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap kali perbincangan diadakan bagi memutuskan perkara itu, ia seringkali ditangguhkan menyebabkan pimpinan sama memonopoli pentadbiran pertubuhan belia.

“Pada masa sama ia telah dimasukkan dalam Dasar Belia Malaysia pada 2015 yang telah dirasmikan Yang Amat Berhormat Pekan yang pada masa tersebut merupakan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan dipersetujui kerajaan dahulu.

“Cuma…setiap tahun ada penangguhan kerana tiada iltizam politik yang mencukupi, saya rasa kita sudah tiba masanya untuk ada iltizam politik untuk melakukan perkara ini,” kata Syed Saddiq.

Dalam pada itu, menjawab persoalan dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika sesi perbahasan mengenai laporan bahawa Majlis Belia Malaysia (MBM) kesal kerana pindaan berkenaan dibuat tanpa persetujuan mereka, Syed Saddiq berkata kementeriannya sudah enam kali bertemu kepimpinan MBM secara rasmi iaitu pada 13 Ogos dan 5 Oktober 2018 serta 8 Januari, 5 Mac, 20 Mei dan 28 Jun 2019.

“Saya turun dan berjumpa dengan MBM negeri-negeri. Saya juga menjemput exco belia dan sukan negeri tidak kira dari parti mana untuk kita mengerakkan agenda pembangunan belia,” katanya.

Mengenai status pemimpin yang telah dilantik dan berusia lebih 30 tahun ketika ini, Syed Saddiq berkata mereka boleh menjawat jawatan itu sehingga tamat penggal pentadbiran.

Sidang dewan bersambung esok. – BERNAMA