Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga pelitup muka, akaun luar pesisir tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Isu arahan bayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu seperti diputuskan Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis baru-baru ini merupakan antara perkara akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan berkenaan akan diajukan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan secara terperinci isu tersebut, sewaktu sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menjadi tumpuan ialah soalan sama ada kerajaan akan mengkaji semula dan mengurangkan harga siling untuk pelitup muka dan kit ujian kendiri, serta isu harga siling untuk oximeter dan penyukat suhu yang akan diajukan Cha Kee Chin (HARAPAN-Rasah) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Menerusi sesi soal jawab pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim (HARAPAN-Port Dickson) dijadual bertanya kepada Perdana Menteri perkembangan terkini siasatan terhadap warganegara Malaysia yang mempunyai akaun luar pesisir seperti yang telah dinamakan bermula dengan laporan Offshore Leaks 2012 sehingga Pandora Papers 2021.

Isu berkaitan status jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pula akan dibangkitkan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menjawab soalan itu hari ini.

Selepas selesai sesi tersebut, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Rakyat tumpu isu peremitan wang, e-ujian lesen memandu

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Isu kawalan selia peremitan wang ke luar negara khususnya oleh pekerja asing dan pelaksanaan ‘e-testing’ bagi mengambil ujian lesen memandu merupakan antara persoalan yang memerlukan jawapan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai mekanisme kawalan peremitan wang ke keluar negara yang mencecah RM40 bilion setiap tahun itu akan diajukan oleh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) kepada Menteri Kewangan semasa sesi soal jawab.

Bagi soalan berkenaan bilakah ‘e-testing’ dapat dilaksanakan sepenuhnya untuk semua proses ujian lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan serta syarikat pembekal teknologi mana yang terpilih, akan ditanya oleh Loke Siew Fook (HARAPAN-Seremban) kepada Menteri Pengangkutan.

Turut tersenarai ialah soalan Khalid Abd Samad (HARAPAN-Shah Alam) yang meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah usaha baharu untuk mengurangkan kebergantungan beras import untuk penggunaan negara.

Menteri berkenaan juga perlu menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahu tahu langkah kementerian untuk mempertimbangkan imbuhan atau pampasan kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar utama padi negara.

Ia memandangkan negeri terbabit telah mengalami kos lepas perolehan hasil negeri dalam bentuk percukaian serta tanah di negeri terlibat tidak dapat dibangunkan dengan pembangunan komersial seperti negeri-negeri lain.

Selain itu, turut menuntut penjelasan ialah Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (HARAPAN-Temerloh) yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan usaha kementerian mengawal pembalakan di Pahang daripada menjadi bencana seperti hujung tahun lepas.

Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat terima usul ahli Parlimen HARAPAN, bahas isu banjir

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima usul mengenai banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di ibu negara semalam, dan bersetuju agar isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Azhar berkata beliau menerima notis pemberitahu mengenai usul itu daripada dua Ahli Parlimen iaitu Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) pada pukul 10 malam tadi dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sekitar 10 pagi ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjelaskan usul itu bagaimanapun tidak akan dibincangkan atau dibahaskan hari ini, kerana memerlukan tempoh 24 jam untuk diteliti menurut Peraturan Mesyuarat 18 (2).

“Saya terima usul Yang Berhormat (Fong) pada 10 malam tadi, jadi saya ada 24 jam ikut peraturan (untuk dipertimbangkan) dan saya akan jawab hari ini, usul YB (Yang Berhormat) Lembah Pantai dihantar 10 pagi…saya ada (tempoh) sehingga esok (untuk pertimbangan).

“Tetapi secara preliminary, saya cadangkan perkara itu dibincangkan (bahas)…itu sahaja komen saya setakat ini. Tapi saya tak benarkan ia (dibahas) sekarang, kerana perlu tempoh 24 jam (untuk dipertimbangkan)…kalau saya benarkan, hanya satu sahaja kerana ia (usul) sama,” katanya.

Terdahulu sebelum sesi perbahasan Titah Diraja bermula, Fong bangun mengusulkan agar kejadian banjir kilat yang melanda banyak kawasan di Kuala Lumpur semalam dibahaskan segera, malah usul sama turut dibangkitkan dan disokong oleh Ahmad Fahmi.

“Semalam, banjir kilat melanda di banyak tempat khususnya di Bukit Bintang, Cheras, Seputeh dan Lembah Pantai. Saya minta usul berkenaan dibahaskan di Dewan yang mulia ini…ia melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya.

Beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk jalan-jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan yang bermula sejak 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pula bangun mengemukakan usul membahaskan isu arahan pembayaran AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada Kesultanan Sulu kerana ia perkara tertentu berhubung kepentingan awam yang dikehendaki disegerakan.

“Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan orang berkenaan dengan kedaulatan negara terutamanya Sabah. Malaysia dibentuk oleh tiga wilayah dan kerajaan Persekutuan bertanggungjawab atas keselamatan Sabah dan Sarawak.

“Jadi saya mohon soal ini dibincangkan dan dibahaskan di dalam Dewan ini dengan segera dan tidak boleh diremeh-remehkan atau dilengah-lengahkan lagi. Jadi saya mohon Yang Dipertua mempertimbangkan permohonan saya ini diberikan keutamaan untuk dibahas,” katanya.

Azhar kemudian menjelaskan beliau belum meneliti usul berkenaan kerana baru dihantar pada 11.30 pagi ini iaitu selepas persidangan bermula.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan untuk rakyat Malaysia di Ukraine, kes menyamar polis tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dan peningkatan kes individu menyamar sebagai anggota polis antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas susulan krisis Ukraine-Rusia itu akan diajukan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut tersenarai, soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai penyediaan rumah mampu milik bagi golongan muda serta sambutan kumpulan itu terhadap projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri berhubung usaha kerajaan menangani peningkatan kes orang awam menyamar sebagai anggota polis bagi memastikan maruah dan imej polis terbela.

Soal perancangan KPKT untuk mengurangkan penggunaan tapak pembuangan sisa pepejal terbuka dan meminimum impak negatif terhadap alam sekitar akan dibangkitkan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada menteri berkenaan.

Isu berkaitan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak termasuk perlindungan kesan sampingan bagi golongan itu akan diajukan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Kesihatan.

Selesai sesi itu, Ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian menyambung semula sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Ahli parlimen HARAPAN kemuka usul rujuk Najib ke jawatankuasa khas Parlimen

SHAH ALAM, 3 MAC: Ahli Parlimen Damansara membuat usul supaya Datuk Seri Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyatakan usul itu telah diserah kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tony Pua berkata kenyataan bekas perdana menteri yang menyebut tiada satu sen prinsipal hutang 1MDB dibayar kerajaan adalah palsu.

“Beliau (Najib) dalam ucapannya semalam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifat sebagai menghina majlis. Secara spesifiknya, beliau mengelirukan dewan,” katanya pada sesi dewan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng turut menyokong kenyataan Pua dan meminta ahli parlimen Pekan itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.

“Tidak ada alasan selain merujuk Pekan (Najib) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Dalam dewan jangan tipu dan bohong. Jangan kelirukan dewan yang mulia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli parlimen HARAPAN cadang harga kit ujian bawah RM5, mampu dibeli B40

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Isu berkaitan kenaikan harga kit ujian pengesanan kendiri Covid-19 (RTK-Ag) dan proses vaksinasi antara dibangkitkan beberapa ahli parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Tiitah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Steven Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) mencadangkan kerajaan menetapkan harga kit RTK-Ag di bawah RM5 dan memberi subsidi bagi ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) dengan menetapkan harga di bawah RM100.

Beliau berpendapat sekiranya negara serius untuk memasuki fasa endemik, akses rakyat kepada segala keperluan bagi menghadapi wabak itu perlu dipermudahkan.

Katanya selain kit ujian, antara keperluan penting lain termasuk pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan oksimeter.

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pula berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menetapkan harga siling runcit kit ujian kendiri berada pada paras yang mampu dibeli golongan M40 dan B40.

“Memang pada mula (awal) Disember lepas, kit ujian ini telah dijual di bawah harga RM5 walaupun kerajaan tidak menetapkan harga siling di bawah RM5 ketika itu. Apabila kes meningkat sekarang, mereka mula menjual pada harga RM8 hingga RM9 malah ada lebih tinggi kerana permintaan meningkat,” katanya.

Beliau berkata ia menyebabkan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu membeli kit ujian tersebut sekali gus menjejaskan usaha mengawal pandemik COVID-19.

Justeru katanya KPDNHEP perlu menyemak semula penetapan harga siling tersebut di bawah RM10 atau RM5 supaya peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga apabila permintaan tinggi akibat penularan mendadak kes Covid-19.

Kerajaan pada September lepas menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian RTK-Ag pada harga RM19.90 daripada RM39.90.

M.Karupaiya (PH-Padang Serai) pula menggesa KPDNHEP meneliti punca kekurangan stok kit ujian kendiri di pasaran yang dilihat membebankan rakyat kerana ia keperluan penting dalam mendepani ancaman penularan varian Omicron.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) berkata proses vaksinasi Covid-19 di Sabah perlu ditingkatkan memandangkan kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah termasuk pemberian dos penggalak serta vaksin kepada kanak-kanak.

“Kadar vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sabah setakat ini hanya 12.5 peratus berbanding 24.8 peratus di peringkat nasional dan kadar vaksinasi bagi remaja 69.5 peratus berbanding 90 peratus (nasional).

“Kadar vaksinasi dewasa di Sabah adalah 77.5 peratus berbanding 97.5 peratus di peringkat nasional sekali gus menjadi negeri terendah kadar vaksinasinya,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguh lagi

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Usul pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang dijadualkan hari ini sekali lagi ditangguhkan.

Usul penangguhan tersebut dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mencadangkan usul yang berada di perkara nombor 1 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

“Bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 90 (2) dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Aturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan speaker ke mesyuarat kedua yang akan datang,” katanya.

Usul itu kemudian dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli dewan.

Pada 23 Ogos tahun lepas, Azalina melepaskan jawatan itu, namun tetap menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sementara, sepanjang tempoh persidangan itu berlangsung.

Ketika persidangan pada 25 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang.

Menurut Wan Junaidi, usul perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat yang lepas tetapi ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kemuka usul bincang dakwaan Bank Negara amal rasuah, salah guna kuasa

SHAH ALAM, 28 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat bagi membincangkan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan institusi Malaysia rentetan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usul kepada Yang di-Pertua Tan Sri Azhar Azizan Harun berikutan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat, yang mengaitkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua pembangkang itu menegaskan perkara tersebut perlu disegerakan kerana pembongkaran kes berkenaan kini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan kerajaan.

“Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya di Facebook hari ini.

Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga gagal mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana rakyat Malaysia jika terbabit dalam transaksi kewangan tersebut.

“Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari yang di-Pertua,” katanya menambah usul dibuat bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Leissner dalam keterangannya memberitahu BNM membenarkan pemindahan keluar wang AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun, BNM pada Khamis menjelaskan semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM300 bilion diperlu selesai fenomena banjir, tempoh pelaksanaan 50 tahun

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Lebih RM300 billion diperlukan bagi cadangan penyelesaian jangka masa panjang fenomena banjir di seluruh negara dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun sehingga tahun 2100.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini termasuk projek pembangunan infrastruktur air seperti tebatan banjir, pembinaan benteng, ban dan pencegahan hakisan pantai.

“KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air) percaya melalui cadangan penyelesaian segera jangka pendek dan jangka panjang, impak fenomena banjir dari segi kemusnahan harta benda mahu pun kehilangan nyawa setidak-tidaknya dapat kita minimumkan,” katanya pada sesi penerangan berkenaan perancangan jangka panjang banjir Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata antara cadangan penyelesaian jangka masa panjang adalah dengan memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air melalui pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air dengan mengambil kira keperluan peningkatan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai negara.

Di bawah akta ini, KASA akan mencadangkan penubuhan sebuah tabung khas atau kumpulan wang amanah untuk peningkatan kapasiti adaptif sektor air dan kawasan pesisir melalui pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur yang mengambil kira faktor perubahan iklim.

Cadangan langkah lain adalah dengan membangunkan Pusat Adaptasi Kebangsaan bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan adaptasi perubahan iklim, integrasi pengurangan risiko bencana dan pencegahan kehilangan dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim yang melibatkan sektor-sektor mudah terancam.

“Langkah penyelesaian jangka panjang lain ialah dengan meningkatkan kapasiti takungan air banjir melalui pelaksanaan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) dan empangan bagi tujuan tebatan banjir dan sumber air.

“Selain itu penggunaan pendekatan ‘nature-based solution’ (penyelesaian berasaskan semula jadi) seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat dalam aktiviti perlindungan, pembersihan dan pemuliharaan sungai,” katanya.

Dalam mendepani cabaran pada masa depan, Tuan Ibrahim berkata KASA juga mengambil sikap terbuka untuk mempelajari pengalaman negara lain dalam pengurusan banjir.

Misalnya beliau berkata Kerajaan Belanda telah menawarkan bantuan kepada Malaysia menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur untuk menghantar pasukan Dutch Risk Reduction (DRR) bagi menilai impak fenomena banjir dan cadangan penyelesaian bersesuaian.

“KASA sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi menjayakan kolaborasi ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai pengeluaran sektor ekonomi susut RM4-RM8 bilion – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kementerian Kewangan menganggarkan bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang melanda pada Disember lepas menyebabkan pengurangan nilai pengeluaran sektor ekonomi antara RM4 billion hingga RM8 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata walaupun bencana tersebut telah menjejaskan aktiviti ekonomi khususnya di kawasan yang terkesan, unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kekal antara 3.0-4.0 peratus bagi keseluruhan 2021.

Bercakap pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini, beliau berkata kerajaan telah mengambil kira indikator utama yang menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan.

“Momentum pemulihan tersebut dijangka berterusan sepanjang tahun ini iaitu ekonomi kita dijangka terus berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia,” katanya.

Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir tersebut membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir, pascabanjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia serta perancangan jangka panjang bagi pengurusan bencana tersebut.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata IMF dan Bank Dunia telah menyasarkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 6.0 peratus dan 5.8 peratus.

“Pemacu utama pertumbuhan Malaysia termasuk pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial susulan peralihan seluruh negara ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara,” kata beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Henti pembalakan di lokasi berisiko banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya segera menghentikan pemberian konsesi pembalakan di lokasi berisiko banjir.

“Saya cadangkan hentikan semua termasuk yang diluluskan sehingga dikenal pasti punca kecuali ada kajian mengatakan pembalakan di kawasan itu selamat.

“Jangan beri kelulusan baru kepada pembalakan tanpa mengira darjat, pengaruh politik,” kata ketua pembangkang itu dalam mesyuarat khas Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat-syarikat balak yang mengakibatkan banjir termasuk mendesak syarikat terlibat membayar ganti rugi kepada mangsa.

“Bila mangsa mengalami kerugian akibat banjir. Kena ada ketetapan untuk syarikat balak bayar sebahagian kerugian kerana cukai saja tidak mencukupi memandangkan pembayaran sedemikian bukan bermaksud mereka boleh merosakkan rumah orang.

“Begitu juga golongan kaya yang meneroka kawasan atau membina kediaman mereka, tetapi menyebabkan kerosakan kepada rumah orang lain,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan tambah nilai bantuan mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi saranan supaya kerajaan persekutuan menambah nilai bantuan kepada mangsa banjir bagi mengelakkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua pembangkang dalam Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat hari ini menegaskan mangsa banjir dalam terdesak kerana mereka menanggung kerugian besar akibat bencana itu.

“Ada mengatakan perlu beri kelonggaran kepada pencarum ambil wang sendiri. Jika tiada, laluan mudah untuk mereka, kita kena pantau golongan ini. Beri bantuan tambahan bagi mengurangkan beban,” katanya pada 20 Januari.

Namun, Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat menegaskan beliau sama sekali tidak menyokong sebarang idea yang boleh menjejaskan masa depan rakyat termasuk penggunaan dana KWSP.

“Kalau diambil wang ini, lima atau enam tahun setelah bersara tidak ada harapan mereka boleh jamin keselamatan hidup mereka dan keluarga.

“Jadi maknanya menghentikan peluang pencarum mengambil wang KWSP dipersetujui tertakluk dengan syarat peruntukan tambahan kepada mangsa yang berkenaan dan baru ia dapat diimbangi,” katanya.

Pada 4 Januari lalu, Anwar  yang juga ahli parlimen Port Dickson mencadangkan jumlah bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada mangsa banjir pada kadar segera.