Categories
NASIONAL

Keperluan tambah baik proses penerimaan aduan SPRM

PUTRAJAYA, 5 JUL: Setelah menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira sebulan, Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya melihat keperluan untuk memperbaiki proses menerima aduan kes rasuah bagi memastikan aduan yang diterima suruhanjaya itu benar-benar tulen.

Ketika ditemu bual di konti MACC.fm hari ini, Latheefa berkata aduan yang diterima tidak sepatutnya semata-mata bermotifkan dendam, memalukan, menghina atau mengaibkan sesiapa.

“Proses menerima aduan itu adalah permulaan untuk operasi supaya apa-apa siasatan dilakukan secara efektif bukan kita membuang masa melayan aduan yang mungkin tiada asas.

“Jadi itu merupakan perkara yang sangat penting dalam aspek operasi,” katanya dalam satu program temu yang dikendalikan Ketua Seksyen Penerbitan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Norizan Abu Samah.

Kepada soalan pendengar mengenai kurangnya pendakwaan walaupun banyak kertas siasatan dibuka, Latheefa berkata setiap aduan tidak semestinya akan menghasilkan kertas siasatan yang lengkap, dan hanya kertas siasatan yang lengkap sahaja akan dibawa kepada pendakwaan.

Latheefa berkata jika aduan yang diterima jelas maka kertas siasatan boleh terus dibuka, namun menurutnya ia jarang sekali berlaku kerana banyak aduan diterima berbentuk surat layang.

Terdapat juga aduan yang memerlukan perisikan lanjut kerana maklumat yang diberi atau perlu diproses terlalu sedikit, katanya.

Latheefa berkata terdapat juga pemberi maklumat yang mahu dilindungi yang mana SPRM perlu mengambil langkah untuk memastikan individu tersebut selamat sebelum menjalankan tindakan seterusnya.

“Ada kemungkinan pada satu peringkat tiada keterangan atau bukti mencukupi, kita terpaksa menutup siasatan tersebut sehinggalah kita mendapat lebih maklumat kita buka semula. Itulah yang kita perlu maklumkan kepada orang ramai,” katanya.

Selain itu, Latheefa berkata beliau juga ingin memperkukuhkan aspek siasatan dengan memberi latihan kepada pegawai-pegawai SPRM mengenai kaedah mendapatkan keterangan dan bukti melalui penggunaan teknologi moden.

Katanya SPRM perlu beralih daripada kaedah lama mengambil keterangan secara keras untuk menggerunkan saksi bagi mendapatkan maklumat atau pengakuan.

“Dengan teknologi, kita boleh tunjukkan sekiranya kita ada bukti yang (membuatkan) mereka tiada pilihan lain, tetapi untuk mengaku,” katanya.

Dalam pada itu, Latheefa berkata aspek promosi akan turut dipergiatkan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai skop tugas SPRM serta pendidikan mengenai rasuah.

“Kita lihat jenis-jenis rasuah dan dari situ kita bawa kepada sasaran-sasaran masyarakat sivil untuk beritahu mereka elak rasuah,” katanya.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan panel Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam semalam, Latheefa menyifatkan pertemuan itu sangat berjaya.

“Mereka dapat satu pencerahan terhadap ‘misteri’ apa yang sedang berlaku, sama ada saya dapat lakukan tugas saya,” katanya, sambil menambah melalui pertemuan itu beliau melihat kepentingan penerangan dibuat mengenai tugas berat SPRM kepada ahli parlimen, pemimpin dan juga masyarakat. – BERNAMA