Categories
NASIONAL

LTAAS berpotensi sebagai pusat pembangunan baru

SUBANG, 16 JULAI: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) berpotensi dimajukan lagi sebagai pusat pembangunan baru.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif ke arah itu akan diadakan melalui perbincangan dengan semua pihak berkepentingan di kawasan terbabit bagi menjayakannya.

“Tadi kita dikemukakan cadangan yang sangat menarik dan praktikal untuk dilaksanakan.

“Cadangan merejuvenasi atau pembangunan semula ini demi menjadikan LTSAAS sebagai salah satu pusat pembangunan baru yang memberi nilai tambah industri aero angkasa dalam negara, ekonomi Malaysia dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas mengadakan lawatan rasmi di Airod Sdn Bhd, di sini hari ini.

Amirudin berkata, cadangan pusat pembangunan baru itu mampu dijayakan dalam jangka masa dua hingga tiga tahun jika perancangan itu berjalan lancar.

Menyentuh lawatannya di SME Aircraft Sdn Bhd dan Airod Sdn Bhd, Amirudin menyifatkan kedua-dua syarikat itu berkembang pesat di Malaysia, sekali gus mendapat perhatian di mata dunia.