KUALA LUMPUR, 29 JUL: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak naik prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.6 peratus daripada 4.5 peratus berikutan perubahan dalam model unjuran.
Bagaimanapun, Pengerusi MIER Tan Sri Dr Kamal Salih berkata semakan menaik itu adalah tidak terlalu tinggi dan masih dalam unjuran yang dibuat Bank Negara Malaysia.
“Di sebalik semakan itu, kami tidak optimis berikutan cabaran global dan sentimen yang lemah. Ini bukan tempoh yang sesuai untuk mengatakan semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Ekonomi Nasional MIER ke-34 di sini, hari ini.
Indeks Keadaan Perniagaan MIER merosot kepada 94.2 mata pada suku kedua 2019 (2Q19), berbanding 94.3 mata pada suku sebelumnya, manakala keyakinan perniagaan kekal tidak berubah pada suku tersebut.
Indeks Sentiman Pengguna naik kepada 93 mata pada 2Q19 daripada 85.6 mata pada suku pertama 2019.
Menurut MIER, pada beberapa bulan akan datang, permintaan isi rumah akan terus kekal berhati-hati, terutamanya minat terhadap barangan yang sensitif dan bernilai tinggi seperti rumah dan kereta. – BERNAMA