Categories
SELANGOR

‘Road Sweeper’ tingkat kualiti perkhidmatan pembersihan

KLANG, 17 JULAI: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) melakukan operasi pembersihan jalan menggunakan jentera ‘Road Sweeper’ sebagai tanggungjawab sosial korporatnya di atas Jambatan Raja Muda Nala, pagi ini.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata, pembersihan kira-kira tiga jam itu adalah rutin mingguan pihaknya di setiap zon dan kawasan.

Katanya, jentera ‘Road Sweeper’ itu berfungsi untuk melakukan kerja permbersihan dengan lebih efektif dan efisien khususnya sisa industri di kawasan berkenaan.

“Jentera ini dapat menampung sehingga 680 kilogram sekali penggunaan dan dilengkapi Vehicle MonitorIng System (VMS) dengan pergerakan jentera dipantau secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di Ibu Pejabat KDEBWM di Shah Alam,” katanya kepada SelangorKini.

Mahfuzah berkata, penggunaan jentera berkualiti tinggi itu bukan sahaja memudahkan kerja pembersihan, malah mampu melakukan sapuan di sepanjang jalan secara mekanikal terutama di jalan yang sibuk dan tidak dapat dilakukan secara manual.

Pada masa sama, katanya, KDEBWM menggunakan jentera yang dilengkapi pelbagai peralatan dan teknologi canggih dalam meningkatkan lagi kualiti serta mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal juga pembersihan awam.

“Selain ‘Road Sweeper’, KDEBWM juga mempunyai jentera High Pressure Water Jetter bagi kerja pembersihan longkang.

“KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dan menyediakan jentera serta peralatan bermutu tinggi dalam melakukan kerja pembersihan,” katanya.