Categories
SELANGOR

LKAN 2018: 49% pengunjung iktiraf PPAS sangat memuaskan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kira-kira 49 peratus pengunjung Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berpendapat kemudahan disediakan sangat memuaskan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Laporan itu berkata, sementara 47.2 peratus pula berpendapat kemudahan PPAS sebagai memuaskan dan hanya 3.8 peratus tidak memuaskan.

“Antara yang dinilai ialah kemudahan tempat letak kenderaan, perabot, komputer dan capaian internet, tahap persekitaran perpustakaan yang bersih dan selesa serta suasana dalam perpustakaan khususnya pencahayaan.

“Tahap kepuasan pengunjung berhubung kemudahan dan persekitaran perpustakaan ini juga kerana kerja naik taraf yang dilakukan PPAS,” katanya.

Pengauditan itu turut melaporkan, berdasarkan maklum balas soal selidik yang dijalankan, tahap kekerapan tertinggi pengunjung hadir ke perpustakaan baik, sekurang-kurangnya satu kali seminggu.

“Analisis mendapati jumlah kedatangan pengunjung pada 2017 dan 2018 bagi enam perpustakaan terpilih meningkat pada kadar 61 hingga 81.4 peratus.

“Ini menunjukkan projek pembangunan perpustakaan yang dilaksanakan berjaya menarik minat pengunjung ke perpustakaan,” katanya.

Statistik mendapati 25 peratus pengunjung datang ke perpustakaan sebanyak satu kali seminggu, 22.7 peratus (dua kali seminggu), 20.8 peratus (tiga kali seminggu), 17.3 peratus (setiap hari) dan 14.2 peratus lain-lain.

Laporan Ketua Audit Negara juga melaporkan, berlaku peningkatan antara 5.1 hingga 15.9 peratus bagi bilangan koleksi buku dan bahan pada 2016 hingga 2018.

Jumlah koleksi dan bahan perpustakaan awam berjumlah 103,714 pada 2015 dan naik kepada 133,345 pada 2018.

“Berdasarkan Pelan Strategik PPAS 2016-2020, PPAS mahu pembangunan koleksi buku dan bahan perpustakaan untuk mengukuhkan koleksi serta bahan perpustakaan yang komprehensif melalui perolehan bahan terbitan dalam dan luar negara.

“PPAS turut menetapkan sasaran bagi pelaksanaan penambahbaikan koleksi buku dan bahan sebanyak 100,000 hingga 150,000 naskhah setahun,” katanya.