Categories
SELANGOR

Sediakan siar kaki di projek Datum Jelatek

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disaran menyediakan siar kaki di antara projek Datum Jelatek dan Jalan Enggang, Taman Keramat bagi memudahkan pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) kawasan berdekatan.

Bekas EXCO Kerajaan Negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ketika ini pengguna LRT terpaksa menyeberang di atas jalan raya untuk ke Jalan Enggang.

“Keadaan ini amat berbahaya sekiranya tiada siar kaki dengan sempurna memandangkan keadaan lalu lintas yang agak sesak terutamanya waktu puncak.

“Saya berharap PKNS atau MPAJ akan menyediakan siar kaki yang sempurna lebih lagi mereka yang turun dari Stesyen LRT Jelatek untuk ke Taman Keramat,” katanya kepada SelangorKini.

Iskandar berkata, keadaan lebih membimbangkan khususnya awal pagi atau malam kerana keadaan gelap dan kenderaan kemungkinan besar tidak nampak mereka yang berjalan kaki.

“Siar kaki itu juga mesti dilindungi dari apa-apa bahaya yang timbul akibat pembinaan projek terbabit seperti objek yang jatuh dari bangunan sedang dibina itu.

“Saya yakin PKNS sebagai pemaju yang mempunyai reputasi tinggi tidak akan menghadapi masalah untuk menyediakan siar kaki terbabit,” katanya.