Categories
BERITA UTAMA

Bomba yakin remaja Ireland masih hidup

NILAI, 7 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yakin gadis warganegara Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di resort The Dusun, Pantai di sini sejak Ahad lalu masih hidup.

Ketua Balai JBPM Seremban, Mohamad Idris berkata, hal itu kerana kawasan resort berkenaan berdekatan sumber air seperti sungai dan jeram.

“Logiknya, walaupun empat hari hilang tetapi jika ada sungai, peluang hidup itu masih ada kerana terdapat sumber air walaupun tiada makanan.

“Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini tertumpu di kawasan sepanjang sungai ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, seramai 40 anggota dan pegawai JBPM Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerahkan dalam operasi SAR yang memasuki hari keempat, hari ini.

“Seramai 10 anggota PPDA memulakan operasi menyelam di sungai ini khususnya di kawasan jeram dan dasar sungai yang dalam.

“Pasukan bomba dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sektor pencarian termasuk dalam kawasan hutan,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 Ogos lalu, gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada 8 pagi.

Sementara itu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung di jalan masuk ke resort itu sejak awal pagi tadi.

Media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan resort itu dengan pintu masuk dikawal ketat anggota keselamatan.

-BERNAMA