Categories
BERITA UTAMA

Bomba yakin remaja Ireland masih hidup

NILAI, 7 OGOS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yakin gadis warganegara Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di resort The Dusun, Pantai di sini sejak Ahad lalu masih hidup.

Ketua Balai JBPM Seremban, Mohamad Idris berkata, hal itu kerana kawasan resort berkenaan berdekatan sumber air seperti sungai dan jeram.

“Logiknya, walaupun empat hari hilang tetapi jika ada sungai, peluang hidup itu masih ada kerana terdapat sumber air walaupun tiada makanan.

“Oleh itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini tertumpu di kawasan sepanjang sungai ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, seramai 40 anggota dan pegawai JBPM Seremban, Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerahkan dalam operasi SAR yang memasuki hari keempat, hari ini.

“Seramai 10 anggota PPDA memulakan operasi menyelam di sungai ini khususnya di kawasan jeram dan dasar sungai yang dalam.

“Pasukan bomba dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut sektor pencarian termasuk dalam kawasan hutan,” katanya.

Dalam kejadian pada 4 Ogos lalu, gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London untuk percutian dua minggu, sebelum Nora Anne dilaporkan hilang.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya di resort berkenaan oleh keluarganya pada 8 pagi.

Sementara itu, lebih 20 petugas media tempatan dan antarabangsa berkampung di jalan masuk ke resort itu sejak awal pagi tadi.

Media bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan resort itu dengan pintu masuk dikawal ketat anggota keselamatan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Henti spekulasi kehilangan remaja Ireland

MUAR, 6 OGOS: Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi sendiri berhubung kehilangan remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, di The Dusun, Pantai, Nilai, sejak Ahad lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tanggapan yang mendakwa remaja itu menjadi mangsa culik adalah tidak tepat, bahkan dibimbangi akan menimbulkan salah faham, serta boleh menganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.

“Jangan memandai-mandai. Pakailah kenyataan rasmi yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan warga asing.

“Apa orang lain kata itu tidak penting, kerana polis lebih tahu apa yang berlaku. Supaya siapa pun yang datang ke negara kita selamat dan tidak menghadapi masalah.

“Saya diberitahu Timbalan Ketua Polis Negara, setakat ini kes berkenaan dianggap sebagai ‘missing person’ dan kita tidak anggap ada pihak lain terbabit. Remaja ini berusia 15 tahun dan apa yang dilaporkan bapanya dia tidak seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Gimrama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, Bandar Universiti Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan kekuatan lebih 150 anggota termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta penduduk tempatan.

Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran, malah berita kehilangannya turut disiarkan media antarabangsa.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai penculikan seperti dilaporkan media asing.

Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan itu kini memasuki hari ketiga.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, perlu ada konsultasi daripada pelbagai pihak supaya semua berpuas hati terhadap pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular.

“Sewajarnya ada konsultasi dan input pandangan yang kita kena ambil bukan sahaja persatuan atau pertubuhan bahkan ibu bapa dan sebagainya. Paling penting asalkan ia tidak membebankan.

“Persoalan sama ada mahu menjadikan ia sebagai suatu subjek wajib atau pilihan terserah kepada Kementerian Pendidikan dan sudah tentu mereka sudah meneliti dan mengkajinya,” katanya yang juga bekas menteri pendidikan.

-BERNAMA