Categories
PENDAPAT RENCANA

Etnik minoriti juga perlu nikmati kemakmuran

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Tidak ada resipi paling utuh dalam mempertahankan kemerdekaan negara yang kini menjangkau usia 62 tahun melainkan semangat penyatuan, persefahaman, toleransi serta kerjasama dalam kepelbagaian yang ada.

Dari Perlis hingga ke Johor dan merentasi sehingga ke Sabah dan Sarawak terdapat lebih 100 kumpulan etnik dan subetnik yang berbeza keturunan, kepercayaan, amalan, adat dan resam serta agama yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang cukup unik di dunia.

Selain masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, kumpulan minoriti seperti Sikh, Cina Peranakan Kelantan, komuniti Baba dan Nyonya, Chetti, etnik Siam dan Portugis menjadi pelengkap kepelbagaian kaum di Malaysia yang kurang diketahui dan disedari oleh kebanyakan kita.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill, kumpulan berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan negara sebelum dan selepas kemerdekaan negara dan perlu mendapat layanan yang baik dan adil.

“Kemakmuran bersama seperti yang dimaksudkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dinikmati oleh kaum minoriti di negara ini untuk bersama-sama menikmati kekayaan hasil pembangunan serta limpahan ekonomi supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.

PENGLIBATAN ETNIK MINORITI DALAM CAPAI KEMERDEKAAN

Menyingkap sejarah kemerdekaan negara, Sarjit berkata, etnik minoriti juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga. Contoh ialah orang Sikh yang terlibat dalam pasukan keselamatan sebagai pegawai penjara dan polis di bawah pentadbiran kolonial British dan pasca kolonial sehingga kini.

Begitu juga masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pasukan Senoi Praaq-Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Renjer Sarawak yang dianggotai anak tempatan terutama suku Iban untuk menentang komunis.

Menurut beliau, selain itu etnik minoriti juga banyak terlibat dalam sukan yang menjadi pengukuhan perpaduan di antara kaum di Malaysia.

Nama seperti Pandelela Rinong, untuk acara sukan terjun, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Sarbegeth Singh dan bekas pemain hoki negara, Sarjit Singh meniti dibibir rakyat Malaysia pada hari ini dan satu ketika dahulu.

“Sebab itu tema Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih sangat penting untuk kebersamaan kita seluruh rakyat Malaysia, berganding bahu agar kemakmuran bersama ini diraikan,” katanya.

Ini yang turut ditekankan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman di dalam bukunya, “13 Mei, Sebelum dan Selepas” yang membincangkan peranan setiap masyarakat untuk mengekalkan perpaduan agar masing-masing mengenali antara satu sama lain bergandingan dengan etnik majoriti agar kemakmuran diraikan bersama.

“Penglibatan etnik minoriti pada hari kebesaran seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sangat penting bagi meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita dan pada masa yang sama mereka rasa dihargai kerana kemerdekaan negara melibatkan semua bangsa Malaysia,” katanya.

CABARAN MENGURUSKAN ETNIK MINIORITI

Menjelaskan ungkapan “minoriti” di negara ini , Sarjit berkata ia terbahagi kepada dua, iaitu minoriti dari segi kumpulan dan minoriti etnik.

Golongan belia, ibu tunggal, warga tua adalah antara minoriti kumpulan yang ada di negara kita, manakala etnik minoriti pula adalah seperti masyarakat Orang Asli dan lebih 50 etnik pribumi di Sabah dan Sarawak, yang semuanya memerlukan perhatian.

“Tumpuan yang orang ramai lihat sekarang banyak diberikan kepada etnik minoriti arus perdana seperti kaum India sedangkan etnik minoriti lain seperti Baba dan Nyonya, Chetti, Portugis, Siam juga tidak boleh diabaikan.

“Di Malaysia isu kesaksamaan biasanya akan menjadi isu sensitif, seolah-olah kesaksamaan itu tidak baik, keadilan itu tidak baik. Tetapi di dalam semua agama kita membincangkan soal kesaksamaan, keadilan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Sarjit, cabaran hari ini adalah memastikan kemerdekaan ini terus diraikan dalam kesaksamaan penuh perpaduan.

Jelas beliau lagi, kerana itu amat penting menguruskan etnik minoriti agar peluang diberikan kepada mereka untuk menerima limpahan pembangunan agar dapat menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

Banyak kelemahan yang boleh diperbaiki antaranya mewujudkan pangkalan data setiap etnik minoriti yang ada di negara ini.

“Pada masa ini hanya masyarakat Orang Asli sahaja etnik yang mempunyai pangkalan datanya sendiri yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Keadaan ini menyukarkan kerajaan dan pemegang taruh lain untuk mengenalpasti keperluan setiap minoriti dan bantuan-bantuan yang boleh diagihkan kepada mereka, ” tambahnya.

WUJUDKAN KEMENTERIAN KHUSUS ETNIK MINORITI

Bagi menguruskan masyarakat minoriti secara serius terutama dalam memperkasakan kumpulan ini, Sarjit berpandangan perlu diwujudkan sebuah kementerian yang khusus.

Ini kerana mengurus etnik minoriti bukan mudah kerana masing-masing mempunyai isu yang berbeza.

JAKOA, kata beliau boleh diletakkan di bawah kementeriannya ini, begitu juya semua etnik minoriti agar semua suara boleh didengari.

“Selain itu kita belum lagi mempunyai satu dasar yang khusus tentang etnik minoriti untuk membangunkan mereka. Jika ini dapat diwujudkan baharulah ada pembelaan dan kemakmuran bersama.

“Jika tidak ada langkah proaktif, lagi 20 tahun kita akan terus mendengar dan membincangkan etnik minoriti terus terpinggir, ” katanya.

Sarjit turut menegaskan bahawa setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, pembangunan negara seharusnya tidak lagi berdasarkan etnik sebaliknya perlu berasaskan kepada keperluan masyarakat.

Menurut beliau, kerana itu apabila masuk ke kawasan pedalaman seperti di Sabah, banyak kawasan yang masih terpinggir daripada pembangunan antaranya etnik Rungus, Murut dan Lundayeh.

Sarjit yang pernah terlibat sebagai pakar rujuk Dasar Belia Malaysia menegaskan bahawa belia etnik minoriti juga merupakan kelompok sasaran Dasar Belia Malaysia.

Persoalannya ialah sejauhmana pemantauan berkala dilakukan bagi melihat kejayaan pelaksanaan dasar tersebut.

“Dasar diwujudkan bagi menyelesaikan isu masyarakat, namun jika dasar itu tidak dilaksanakan pada golongan sasaran maka ia hanya akan tinggal dasar sahaja,” katanya yang berharap kerajaan Pakatan Harapan akan terus mendekati isu masyarakat minoriti di negara ini untuk bersama-sama memacu pembangunan sosial dan negara.

-BERNAMA