Categories
AGENDA NASIONAL

Pesara hiasi halaman rumah dengan ratusan Jalur Gemilang

KUALA PILAH, 15 OGOS: Menjadi kelaziman sejak 12 tahun lalu, Mohamad Latif Atan akan mengekspresi semangat cintakan negara dengan menghiasi ratusan bendera Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Tanjung Ipoh dekat sini, setiap kali menjelang bulan Kemerdekaan.

Pesara kerajaan berusia 64 tahun itu dan isteri, Rahimah Abu Bakar, 60, mula mengumpul bendera ketika masih berkerja dan kini mempunyai kira-kira 200 helai bendera pelbagai saiz dengan perbelanjaan RM500.

“Setiap kali menerima gaji, saya beli bendera sedikit demi sedikit, mengumpul bendera ini adalah hobi, dengan cara ini saya dapat zahirkan penghargaan kepada perjuangan masyarakat terdahulu yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata menjadi kepuasan serta kebanggaan pada dirinya apabila melihat Jalur Gemilang berkibar megah di halaman rumahnya yang dipasang bermula 1 Ogos sehingga 16 Sept setiap tahun.

Selain memasang bendera di halaman rumah, bapa kepada tiga orang anak itu mempunyai kreativiti tersendiri, boleh membuat pakaian, payung dan topi menggunakan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

“Semasa pandemik ini kita tidak boleh menyambut secara besar-besaran dengan berhimpun tetapi kita boleh sambut secara sendiri di rumah masing-masing seperti memasang bendera dan memakai pakaian tradisional,” katanya.

Sementara itu pesara tentera, Nasharudin Zakaria, 55, dari Johol dekat sini, menghiasi warung ‘Mak Dara’ milik keluarganya, dengan memasang lebih 30 Jalur Gemilang serta 14 bendera setiap negeri.

Nasharudin berkata amalan itu telah dilakukan sejak 10 tahun lalu untuk menyerlahkan semangat patriotik.

“Tahun ini saya sudah membelanjakan kira-kira RM200 untuk membeli bendera dan tiada masalah untuk mengeluarkan modal sendiri sempena Hari Kemerdekaan. Bendera akan dipasang sehingga sambutan Hari Malaysia 16 Sept nanti,” katanya.

Katanya pemasangan bendera itu juga dapat menarik perhatian pelanggan datang membeli juadah makanan di warung berkenaan.

Nasharudin berkata meskipun tiada perarakan atau program kemerdekaan secara bersemuka seperti tahun sebelumnya namun semangat kemerdekaan masih boleh dipupuk menerusi aktiviti pemasangan bendera di kenderaan dan bangunan.

Sikap terpuji Nasharudin itu turut dicontohi anak saudaranya, Nor Izzah Syazana Abdul Talib, 24, yang turut mempunyai minat sama mengumpul bendera untuk dipasang di warung berkenaan.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Etnik minoriti juga perlu nikmati kemakmuran

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Tidak ada resipi paling utuh dalam mempertahankan kemerdekaan negara yang kini menjangkau usia 62 tahun melainkan semangat penyatuan, persefahaman, toleransi serta kerjasama dalam kepelbagaian yang ada.

Dari Perlis hingga ke Johor dan merentasi sehingga ke Sabah dan Sarawak terdapat lebih 100 kumpulan etnik dan subetnik yang berbeza keturunan, kepercayaan, amalan, adat dan resam serta agama yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang cukup unik di dunia.

Selain masyarakat Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, kumpulan minoriti seperti Sikh, Cina Peranakan Kelantan, komuniti Baba dan Nyonya, Chetti, etnik Siam dan Portugis menjadi pelengkap kepelbagaian kaum di Malaysia yang kurang diketahui dan disedari oleh kebanyakan kita.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sarjit Singh Gill, kumpulan berkenaan turut menyumbang kepada pembangunan negara sebelum dan selepas kemerdekaan negara dan perlu mendapat layanan yang baik dan adil.

“Kemakmuran bersama seperti yang dimaksudkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dinikmati oleh kaum minoriti di negara ini untuk bersama-sama menikmati kekayaan hasil pembangunan serta limpahan ekonomi supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.

PENGLIBATAN ETNIK MINORITI DALAM CAPAI KEMERDEKAAN

Menyingkap sejarah kemerdekaan negara, Sarjit berkata, etnik minoriti juga tidak ketinggalan menyumbang tenaga. Contoh ialah orang Sikh yang terlibat dalam pasukan keselamatan sebagai pegawai penjara dan polis di bawah pentadbiran kolonial British dan pasca kolonial sehingga kini.

Begitu juga masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam pasukan Senoi Praaq-Pasukan Polis Hutan (PPH) dan Renjer Sarawak yang dianggotai anak tempatan terutama suku Iban untuk menentang komunis.

Menurut beliau, selain itu etnik minoriti juga banyak terlibat dalam sukan yang menjadi pengukuhan perpaduan di antara kaum di Malaysia.

Nama seperti Pandelela Rinong, untuk acara sukan terjun, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Sarbegeth Singh dan bekas pemain hoki negara, Sarjit Singh meniti dibibir rakyat Malaysia pada hari ini dan satu ketika dahulu.

“Sebab itu tema Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih sangat penting untuk kebersamaan kita seluruh rakyat Malaysia, berganding bahu agar kemakmuran bersama ini diraikan,” katanya.

Ini yang turut ditekankan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman di dalam bukunya, “13 Mei, Sebelum dan Selepas” yang membincangkan peranan setiap masyarakat untuk mengekalkan perpaduan agar masing-masing mengenali antara satu sama lain bergandingan dengan etnik majoriti agar kemakmuran diraikan bersama.

“Penglibatan etnik minoriti pada hari kebesaran seperti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sangat penting bagi meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita dan pada masa yang sama mereka rasa dihargai kerana kemerdekaan negara melibatkan semua bangsa Malaysia,” katanya.

CABARAN MENGURUSKAN ETNIK MINIORITI

Menjelaskan ungkapan “minoriti” di negara ini , Sarjit berkata ia terbahagi kepada dua, iaitu minoriti dari segi kumpulan dan minoriti etnik.

Golongan belia, ibu tunggal, warga tua adalah antara minoriti kumpulan yang ada di negara kita, manakala etnik minoriti pula adalah seperti masyarakat Orang Asli dan lebih 50 etnik pribumi di Sabah dan Sarawak, yang semuanya memerlukan perhatian.

“Tumpuan yang orang ramai lihat sekarang banyak diberikan kepada etnik minoriti arus perdana seperti kaum India sedangkan etnik minoriti lain seperti Baba dan Nyonya, Chetti, Portugis, Siam juga tidak boleh diabaikan.

“Di Malaysia isu kesaksamaan biasanya akan menjadi isu sensitif, seolah-olah kesaksamaan itu tidak baik, keadilan itu tidak baik. Tetapi di dalam semua agama kita membincangkan soal kesaksamaan, keadilan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Sarjit, cabaran hari ini adalah memastikan kemerdekaan ini terus diraikan dalam kesaksamaan penuh perpaduan.

Jelas beliau lagi, kerana itu amat penting menguruskan etnik minoriti agar peluang diberikan kepada mereka untuk menerima limpahan pembangunan agar dapat menyumbangkan khidmat bakti kepada negara.

Banyak kelemahan yang boleh diperbaiki antaranya mewujudkan pangkalan data setiap etnik minoriti yang ada di negara ini.

“Pada masa ini hanya masyarakat Orang Asli sahaja etnik yang mempunyai pangkalan datanya sendiri yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Keadaan ini menyukarkan kerajaan dan pemegang taruh lain untuk mengenalpasti keperluan setiap minoriti dan bantuan-bantuan yang boleh diagihkan kepada mereka, ” tambahnya.

WUJUDKAN KEMENTERIAN KHUSUS ETNIK MINORITI

Bagi menguruskan masyarakat minoriti secara serius terutama dalam memperkasakan kumpulan ini, Sarjit berpandangan perlu diwujudkan sebuah kementerian yang khusus.

Ini kerana mengurus etnik minoriti bukan mudah kerana masing-masing mempunyai isu yang berbeza.

JAKOA, kata beliau boleh diletakkan di bawah kementeriannya ini, begitu juya semua etnik minoriti agar semua suara boleh didengari.

“Selain itu kita belum lagi mempunyai satu dasar yang khusus tentang etnik minoriti untuk membangunkan mereka. Jika ini dapat diwujudkan baharulah ada pembelaan dan kemakmuran bersama.

“Jika tidak ada langkah proaktif, lagi 20 tahun kita akan terus mendengar dan membincangkan etnik minoriti terus terpinggir, ” katanya.

Sarjit turut menegaskan bahawa setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, pembangunan negara seharusnya tidak lagi berdasarkan etnik sebaliknya perlu berasaskan kepada keperluan masyarakat.

Menurut beliau, kerana itu apabila masuk ke kawasan pedalaman seperti di Sabah, banyak kawasan yang masih terpinggir daripada pembangunan antaranya etnik Rungus, Murut dan Lundayeh.

Sarjit yang pernah terlibat sebagai pakar rujuk Dasar Belia Malaysia menegaskan bahawa belia etnik minoriti juga merupakan kelompok sasaran Dasar Belia Malaysia.

Persoalannya ialah sejauhmana pemantauan berkala dilakukan bagi melihat kejayaan pelaksanaan dasar tersebut.

“Dasar diwujudkan bagi menyelesaikan isu masyarakat, namun jika dasar itu tidak dilaksanakan pada golongan sasaran maka ia hanya akan tinggal dasar sahaja,” katanya yang berharap kerajaan Pakatan Harapan akan terus mendekati isu masyarakat minoriti di negara ini untuk bersama-sama memacu pembangunan sosial dan negara.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Golongan muda semarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan

TANAH MERAH, 27 OGOS: Rasa sayang dan cintakan negara boleh dizahirkan melalui pelbagai cara tidak hanya mengibarkan Jalur Gemilang antaranya melalui penganjuran aktiviti yang menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan sekali gus menyuntik semangat patriotik.

Bagi masyarakat Tanah Merah, mereka memilih aktiviti mendaki Bukit Panau di sini, untuk menikmati keindahan panorama di puncak bukit itu yang mempunyai pelbagai cerita berkaitan Hang Tuah dan juga sejarah negeri ini.

Ketua pasukan kelab bola sepak belia Kampung Padang Siam, Mohd Amirul Amin Haron, 22, berkata aktiviti pendakian Bukit Panau merupakan inisiatif beliau bersama rakan sekampungnya bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Jika sebelum ini kebanyakan golongan belia dan malah kami sendiri lebih berminat untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dengan mengikuti konvoi motosikal, namun kali ini kami bersepakat untuk menyemarakkan sambutan dengan aktiviti pendakian Bukit Panau.

“Dengan aktiviti pendakian ini sedikit sebanyak kami dapat mengenali sejarah Bukit Panau yang dikatakan tersimpan pelbagai kisah sejarah, serta menanam sifat cintakan khazanah negara,” katanya kepada Bernama semasa melakukan aktiviti pendakian Bukit Panau di sini.

Mohd Amirul berkata masyarakat negara ini bertuah kerana masih dapat melihat alam semula jadi yang indah, dapat mengunjungi tempat bersejarah hasil daripada kemakmuran yang dikecapi rakyat berbanding beberapa negara lain yang berdepan keadaan hura-hara akibat peperangan dan sebagainya,” kata.

Sementara itu Nor Azliza Ghazali, 35, berkata beliau bersama ahli keluarga serta rakannya bertuah berpeluang mengikuti aktiviti mendaki Bukit Panau.

“Sambil melakukan aktiviti pendakian, saya dapat menceritakan kisah Pahlawan Hang Tuah yang dikaitkan dengan Bukit Panau ini kepada anak-anak dan cerita itu sekali gus memberi pengetahuan kepada anak-anak kami yang membesar dalam zaman serba moden,” katanya.

Suhaimi Sidik, 28, berkata: “Aktiviti pendakian ini, bukan hanya satu aktiviti yang sihat malah ia mampu menyumbangkan kepada nilai perpaduan kepada masyarakat untuk sama-sama menjaga kemakmuran negara.

“Saya berharap kemakmuran dan keamanan negara dapat dipertahankan bagi membolehkan generasi akan datang menikmati keindahan dan kemakmuran negara yang kita kecapi sekarang,” katanya.

Bukit Panau yang terletak di sempadan Pasir Mas-Tanah Merah dikatakan pernah dijadikan tanda tempat bagi pelaut antarabangsa yang mudah diakses dari Laut China Selatan malahan bukit setinggi 255 meter terbabit dikatakan turut dikaitkan dengan Hang Tuah yang pernah bertapa dan menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan ketika itu.

-BERNAMA