Categories
AGENSI SELANGOR

Johan Setia catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kualiti udara di Johan Setia di Klang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat, iaitu pada bacaan 106 setakat 10.30 pagi tadi.

Menurut laman sesawang Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMs), sehingga waktu itu dipaparkan, sebanyak 64 stesen mencatatkan bacaan sederhana antara 51 hingga 100, manakala tiga stesyen lagi mencatatkan bacaan baik.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan negara bakal berdepan pencemaran udara atau jerebu, bermula hari ini.

Ia berkemungkinan berlaku ekoran kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Tiupan angin itu juga dipengaruhi faktor tekanan angin rendah di Laut China Selatan.

IPU yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui laman sesawang APIMs akan mengambil kira kepekatan partikel halus (Particle Matter) yang bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5), mulai semalam.

Penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah sejajar dengan kebanyakan negara maju dan ia akan mempertingkatkan lagi usaha kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar.

Orang ramai boleh merujuk portal http:/apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.