Categories
PBT SELANGOR

Karnival 3W jelajah Shah Alam

SHAH ALAM, 1 OGOS: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) bakal menjelajah ke Shah Alam sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, pada 4 Ogos ini di Dataran Kemerdekaan, Sekyen 14, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, karnival itu adalah inisiatif MBSA untuk memberi pendedahan meluas kepada masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat Selangor.

Katanya, MBSA turut mengadakan acara berjalan 10,000 langkah dan pelepasan peserta kayuhan basikal Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan.

“Majlis pelepasan akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pembedayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

“Program ini bertujuan menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan budaya bersukan khususnya warga Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti riadah seperti acara senamrobik, persembahan pentas oleh Kombo MBSA dan ‘wall climbing’.

Shahrin berkata, MBSA turut menganjurkan ‘Interactive Talk: Forum Bicara Pemakan Sihat’ oleh Kevin Zahari, program Eco Free Market iaitu penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

“Program ‘Urban Picnic’ juga akan diadakan secara sembang santai dan antara topik yang akan dibincangkan adalah ‘Perkasaan Ibu-Bapa, Jayakan Penyusuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan ‘Wanita Hebat, Anak Syurga’.

“Antara tetamu jemputan adalah Zarina Zainuddin, Fyn Jamal dan Dr Faezah Zulkifli iaitu Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Mutiara Hatiku,” katanya.