Categories
EXCO SELANGOR

Ibu bapa dinasihat kawal pemakanan anak

PUCHONG, 15 DIS: Ibu bapa dinasihat untuk mengawal pemakanan anak mereka sejak usia kecil lagi, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat ramai kanak-kanak masa kini dijangkiti diabetes akibat pemakanan tidak terkawal berpunca daripada ibu bapa sendiri.

Katanya, diabetes seringkali dilabel sebagai pembunuh senyap kerana impaknya hanya akan dilihat apabila sudah menjadi kronik.

“Penyakit ini tidak hanya terhad kepada golongan dewasa bahkan juga boleh terjadi kepada kanak-kanak.

“Malah, ketiadaan kawalan dalam pemakanan, akan menyebabkan obesiti yang menjadi salah satu punca ke arah diabetes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dr Siti Mariah berkata, pihaknya menyeru ibu bapa selaku ketua keluarga untuk sama terlibat secara aktif bagi memastikan keluarga memilih pemakanan sihat dan sentiasa melakukan aktiviti riadah.

“Kadang kala kita perlu jadi kejam kepada anak-anak dengan tidak menghidangkan minuman berkarbonat atau makanan manis (tidak berkhasiat).

“Justeru, dengan cara ini mereka mungkin akan membiasakan diri untuk menjauhi makanan atau minuman tidak berkhasiat itu.

“Malah, pendidikan awal berkaitan kesihatan amat penting kepada kanak-kanak kerana mencegah lebih bagus daripada merawat,” katanya.

Terdahulu, Karnival 3W kini melabuhkan tirainya pada tahun ini selepas menjelajah ke 12 PBT dan terakhir adalah MPSJ dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

Berdasarkan rekod, karnival terbabit memulakan sesi jelajah di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, dekat sini pada 10 Februari lalu.

Karnival 3W diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat selain memfokuskan perkara berkaitan wanita, kebajikan dan kesihatan yang menjadi medan interaksi bersama masyarakat.

Categories
EXCO SELANGOR

Karnival 3W bakal diteruskan tahun depan

PUCHONG, 15 DIS: Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) bakal diteruskan lagi tahun depan dan penganjurannya mungkin dijalankan mengikut daerah di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perubahan itu dirancang berbanding membabitkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu berikutan tempoh agak suntuk untuk pelaksanaan karnival berkenaan.

“Karnival 3W ini mungkin akan dilaksanakan namun ia hanya membabitkan sembilan daerah terpilih sahaja tahun depan.

“Kita akan tetap membabitkan PBT namun sebagai contoh dalam satu daerah ada tiga PBT, kita akan memilih salah satu untuk menjadi penganjur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 3W di Padang Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan perasmian ketika Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mengulas berhubung sambutan orang ramai terhadap karnival itu, Dr Siti Mariah berkata, masih terlalu awal untuk diukur namun pihaknya akan mengkaji keberkesanannya selepas ini.

“Pelaksanaan karnival ini juga bergantung kepada impak diberikan orang ramai,” katanya.

Karnival 3W melabuhkan tirainya pada tahun ini selepas menjelajah ke 12 PBT dan terakhir adalah MPSJ dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

Berdasarkan rekod, ia memulakan sesi jelajah pada 10 Februari lalu di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, dekat sini.

Karnival 3W diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat selain memfokuskan perkara berkaitan wanita, kebajikan dan kesihatan yang menjadi medan interaksi bersama masyarakat.

Categories
EXCO SELANGOR

Bendung diabetes, peruntukan Skim Peduli Sihat ditingkat

PUCHONG, 15 DIS: Bagi membendung penularan penyakit diabetes, Kerajaan Negeri komited mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran rakyat berkenaan penjagaan kesihatan dengan penganjuran Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women).

Karnival 3W yang memasuki siri jelajah ke-12 dan terakhir tahun ini memilih Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai tuan rumah dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri juga komited meningkatkan peruntukan Skim Peduli Sihat tahun depan.

Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan (kiri) melakukan kaedah rawatan kecemasan CPR selepas beliau merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Peruntukan ini ditingkatkan kepada RM42.5 juta berbanding RM10 juta tahun ini sekali gus jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap penjagaan kesihatan di Selangor.

“Adalah diharapkan melalui peningkatan peruntukan ini, lebih ramai rakyat Selangor dapat membuat saringan awal penyakit serta menerima kesihatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Berdasarkan rekod, dianggarkan kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit diabetes pada tahun ini dan dijangka akan meningkat jika tiada kesedaran dalam diri masyarakat.

Categories
PBT SELANGOR

Karnival 3W MPSJ angkat tema Hari Diabetes & Kanak-Kanak

SHAH ALAM, 9 DIS: Hari Diabetes dan Kanak-Kanak diangkat sebagai tema Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah pada 15 Disember ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata karnival seawal 7.30 pagi itu bagi memberi pendedahan meluas kepada masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri menyebarkan maklumat berhubung perkhidmatan kesihatan dan kebajikan.

“Orang ramai boleh berurusan dan mendapatkan perkhidmatan secara langsung serta mengambil maklum berhubung perkhidmatan disediakan agensi terlibat.

“Dianggarkan sebanyak 20 agensi Kerajaaan Negeri dan Persekutuan akan terlibat dalam penganjuran karnival pada kali ini yang akan mengadakan pameran agensi serta merencanakan pelbagai aktiviti menarik,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi menghangatkan kemeriahan karnival itu, Asfarizal berkata pihaknya mengadakan rancangan permainan yang akan dikendalikan pelawak Abam Bocey, Ali Puteh dan Cikgu Jinggo berkonsepkan Papaku Adiwira.

“Kita juga menganjurkan Demo Masakan Menu Super IQ oleh Chef Zuwairi yang akan diacarakan oleh pelakon Yana Samsudin bersama Hakeema Rozainah,” katanya.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik lain antaranya 10,000 langkah, pemeriksaan gigi percuma, saringan kesihatan percuma, senaman warga emas, informasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP), urutan MyPapaCare dan derma darah.

Selain itu, pertandingan beyblade, mewarna, pancing ringgit dan Hoola hoop, tiup belon, anyam ketupat, boling kelapa, bola jaring, anak ‘makeup’ emak dan masakan kerabu kacang kelisa.

Aktiviti lain ialah cabutan bertuah, pameran agensi, forum sembang santai, bengkel kraftangan pembuatan beg, kembara kaunseling dan Art Therapy.

Karnival akan dirasmikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Categories
PBT SELANGOR

Sunway Good Run serikan Karnival 3W MPSJ

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama Sunway Group bakal menganjurkan Karnival 3W 2019 (Welness, Welfare & Women) pada 20 Oktober ini di Sunway Geo, Subang Jaya.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, karnival itu kan dirasmikan Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatasha Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“MPSJ menyambut baik saranan Kerajaan Negeri dan akan melaksanakan Karnival 3W di peringkat majlis dengan membawa tema ‘Kesihatan Mental dan Warga Emas’.

“Penganjuran karnival ini bagi menggalakkan serta membudayakan amalan gaya hidup sihat secara berterusan bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya Bilangan 9/2019 di Bilik Mesyuarat Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ.

Katanya, beberapa agensi Kerajaan Negeri turut terlibat menjayakan karnival ini untuk memudahkan pengunjung merujuk permasalahan atau mendapatkan maklumat dengan lebih cepat.

“Menerusi karnival ini juga pelbagai bantuan akan dapat disalurkan terutama kepada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan berpendapatan rendah (B40) supaya kehidupan mereka lebih baik,” katanya.

Karnival di bawah kelolaan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga ini juga bakal diserikan dengan program Sunway Good Run.

Acara ini akan dimulakan dari jam 4.30 pagi dengan kategori larian sejauh 20km, 10km dan 5km.

Selain itu, pelbagai pameran dan aktiviti turut dianjurkan di ruang legar Sunway Geo seperti pertandingan sukan rakyat, sembang santai sihat, cabutan bertuah dan pemeriksaan kesihatan.

Categories
PBT SELANGOR

Karnival 3W jelajah Shah Alam

SHAH ALAM, 1 OGOS: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) bakal menjelajah ke Shah Alam sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, pada 4 Ogos ini di Dataran Kemerdekaan, Sekyen 14, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, karnival itu adalah inisiatif MBSA untuk memberi pendedahan meluas kepada masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat Selangor.

Katanya, MBSA turut mengadakan acara berjalan 10,000 langkah dan pelepasan peserta kayuhan basikal Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan.

“Majlis pelepasan akan disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pembedayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud serta Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

“Program ini bertujuan menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan budaya bersukan khususnya warga Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti riadah seperti acara senamrobik, persembahan pentas oleh Kombo MBSA dan ‘wall climbing’.

Shahrin berkata, MBSA turut menganjurkan ‘Interactive Talk: Forum Bicara Pemakan Sihat’ oleh Kevin Zahari, program Eco Free Market iaitu penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma.

“Program ‘Urban Picnic’ juga akan diadakan secara sembang santai dan antara topik yang akan dibincangkan adalah ‘Perkasaan Ibu-Bapa, Jayakan Penyusuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan ‘Wanita Hebat, Anak Syurga’.

“Antara tetamu jemputan adalah Zarina Zainuddin, Fyn Jamal dan Dr Faezah Zulkifli iaitu Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Mutiara Hatiku,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Warga Kuala Selangor dijemput meriahkan Karnival 3W

SHAH ALAM, 23 JUL: Masyarakat setempat khususnya warga Kuala Selangor dipelawa memeriahkan Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, Sabtu ini.

Karnival anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijadual berlangsung seawal 6.30 pagi hingga 11 malam dengan mengangkat tema Hari Sukarelawan Selangor.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, karnival itu diadakan untuk memberi kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kebajikan serta pemberdayaan wanita selain mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bagi mewujudkan komuniti sihat juga ceria.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung seperti larian 10,000 langkah, pertandingan gasing moden ‘Beyblade Burst’ dan PS4 FIFA 2019.

“Kita turut mengadakan pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan Hari Bertemu Pelanggan MDKS untuk memberi ruang kepada pelanggan menyalurkan aduan serta cadangan secara dua mata.

“Kemuncak program di sebelah malam pula menampilkan bual bicara bersama selebriti terkenal dan hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama set televisyen serta telefon bimbit,” katanya kepada SelangorKini.

Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie serta Naib Juara program Gema Gegar Vaganza 2018, Adeep Nahar akan tampil selaku panelis dalam segmen bual bicara, Papaku Adiwira Mamaku Kejora untuk mengupas topik ‘Aku Sukarelawan’, manakala Amin Idris bertindak sebagai moderator.

Karnival berkenaan akan disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Terdahulu, Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh PBT pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Lebih 5,000 pengunjung banjiri Karnival 3W MPS

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Padang Awam Batu Caves bagi menyertai pelbagai aktiviti sempena Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, karnival berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan tentang usaha kerajaan tetapi merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

Katanya, melalui usaha ‘turun padang‘ seumpama itu, setiap agensi kerajaan yang terbabit akan dapat memberikan khidmat nasihat dan menerima apa sahaja aduan daripada orang ramai berhubung perkara dan masalah berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sedari awal pelancaran Karnival 3W di Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada bulan Februari yang lalu, saya sememangnya memberikan sokongan padu kepada program 3W ini.

“Hal ini kerana dengan adanya Karnival seumpama ini, kita akan berpeluang untuk bertemu langsung dengan masyarakat setempat bagi memberi penerangan berkenaan program-program dan perkhidmatan yang disediakan di peringkat Kerajaan Negeri,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di karnival yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa.

Sehubungan itu, Amirudin berharap supaya semua agensi Kerajaan yang terlibat dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat yang hadir.

Karnival 3W yang berlangsung kali ke enam itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya plogging 10,000 langkah, Basmi Denggi, Pertandingan Futsal, Bengkel Keusahawanan Wanita Strata dan Pertandingan Gasing Hero BayBlade Bapa dan Anak.

Selain itu, turut diadakan Talk Show – Papaku Adiwira, Mamaku Kejora : “Bapa Hebat dan Keluarga Unggul” bersama artis undangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza dan Gimik Sambutan Hari Bapa Peringkat Majlis Perbandaran Selayang.

Pada masa sama, Amirudin turut mengambil bahagian bersama penduduk setempat dalam aktiviti mengukur kelapa.

Categories
SELANGOR

Karnival 3W di Kuala Langat meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

MORIB, 20 APRIL: Karnival ‘Women, Welfare, Wellness’ (3W) yang memasuki siri keempat penganjurannya mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, lebih 2,000 penduduk hadir menyertai pelbagai program di karnival berkenaan setakat tengah hari ini.

“Pada program 10,000 langkah pagi tadi, kita mendapat penyertaan daripada 1,500 peserta dan jumlah pengunjung dijangka meningkat kepada 5,000, sehingga malam.

“Setakat ini penganjuran di Ampang Jaya mencatatkan pengunjung paling tinggi,” katanya ketika ditemui selepas perasmian karnival berkenaan di Dataran Morib, di sini.

Hadir sama Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Borhan Aman Shah; Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid.

Siti Mariah berkata, penganjuran di Kuala Langat itu bersempena tema Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada 7 April lalu.

Katanya, lebih 20 pameran daripada agensi kerajaan dan negeri bekerjasama dalam karnival berkenaan.

“Gerai pameran ini memberikan maklumat perkhidmatan yang disenaraikan berkaitan kesihatan, kebajikan dan wanita.

“Ia disediakan supaya penduduk setempat tidak ketinggalan dalam mengetahui maklumat dan dasar kerajaan yang dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai memanfaatkan pelbagai kemudahan disediakan termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Terdahulu, karnival berkenaan diadakan bertujuan membina landasan terbaik buat rakyat Selangor mendapatkan maklumat berkaitan wanita, kebajikan serta kesihatan, kerajaan negeri tampil dengan siri jelajah bagi memenuhi aspirasi berkenaan.

Sebelum ini, ia dilaksanakan di Ampang Jaya, Klang dan Petaling Jaya.

 

Categories
PBT SELANGOR

10,000 langkah galak masyarakat hidup sihat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Acara berjalan kaki 10,000 langkah yang menjadi aktiviti utama sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) menjadi titik permulaan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, aktiviti yang bermula seawal 8 pagi tadi dijalankan di sekitar One Way Loop, di sini, membabitkan penyertaan lebih 500 peserta.

“Berjalan 10,000 langkah bersamaan 6.5 kilometer membakar 350 kalori, manakala berjalan satu kilometer bersamaan 1,200 langkah.

“Secara puratanya, seminit bersamaan 100 langkah dan berjalan 10,000 langkah sehari secara berterusan akan mengurangkan 64 gram. Untuk membakar nilai kalori untuk sekeping roti canai biasa kita perlu berjalan selama 60 minit tanpa henti sejauh 4.8 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Karnival 3W Peringkat MBPJ, di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelancaran program yang mengangkat tema Hari Autisme dan Hari Tibi Sedunia itu disempurnakan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada masa sama, Sayuthi berkata, inisiatif seumpama itu secara langsung dapat memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa kesihatan adalah hak dan tanggungjawab bersama.

Katanya, selain menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat, Karnival 3W menjadi wadah penting pihaknya selaras mencapai objektif piagam pelanggan, khususnya menjamin kebersihan persekitaran dan kesihatan awam.

“Malah, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan informasi terkini berkenaan aspek kesihatan awam termasuk isu terkini kesihatan seperti wabak demam denggi, penyakit bawaan air serta makanan juga penyakit tidak berjangkit.

“Ini sekali gus menyumbang kepada persekitaran yang bersih, sihat, produktif dan kondusif,” katanya.

Bertindak selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga di Selangor yang menganjurkan karnival itu, pelbagai pengisian program menarik lain diadakan misalnya pameran, forum, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma.

Selain itu, antara lain diadakan adalah senamrobik atau senam tari, ‘Fun Ride’, Mini Zoo, Soopa Dupa, ‘Face Painting’, wayang pacak dan ‘buskers’.

Categories
SELANGOR

Mini Zoo tarikan di Karnival 3W

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Mini Zoo anjuran Bahagian Kawalan Alam Sekitar Petaling Jaya dengan kerjasama Bustana Kucing antara tarikan pengunjung sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menampilkan dua konsep berlainan iaitu ‘Petting Zoo’ dan ‘Cat Show’, ia turut mempamerkan pelbagai spesies haiwan ternakan serta spesies terlindung, khusus buat pengunjung.

Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Mohd Zaim Mohd Nor berkata, selain berpeluang mendekati haiwan jinak di ‘Petting Zoo’, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyentuh haiwan berkenaan tanpa sebarang bayaran.

“Walaupun kucing eksotik mahal, kita turut beri peluang untuk menyentuh dan bergambar secara percuma.

“Anak-anak yang dibawa masuk ke sini akan dilepaskan di dalam satu kawasan sangkar yang terdapat binatang seperti itik, arnab, ayam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, katanya, pertandingan mini pameran kucing turut diadakan di pentas karnival berkenaan sebagai menarik minat golongan kanak-kanak mahupun pencinta haiwan manja itu.

“Pertandingan kucing ada dua kategori iaitu bulu panjang dan bulu pendek dengan penyertaan 15 ekor bagi setiap kategori.

“Pameran kucing ada 15 ekor, manakala pakaian beragam ada 17 ekor kucing yang turut serta dalam pertandingan ini.

“Kucing akan diperhiaskan dengan pelbagai pakaian dan kostum menarik,” katanya

Sebanyak 35 haiwan pelbagai spesies selain sembilan spesies eksotik dipamerkan sepanjang sehari karnival 3W itu berlangsung.

Antara spesies berkenaan adalah Domestic short hair, Domestic long hair, Parsi, Mainecoon, Bengal, Sphynx, Abysinian,Exotic, British short hair dan American curl.

Terdahulu, Bustana Kucing adalah sebuah taman kucing yang bertangunggjawab menguruskan kucing gelandangan dan terbiar untuk dirawat pertubuhan terbabit.

Ditubuhkan sejak 2015, Bustana yang ketika ini dianggotai 348 ahli sedang memuktamadkan projek taman kucing pertama di dunia terletak di Perlis.

Categories
SELANGOR

Mahasiswa prihatin sertai Karnival 3W

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 6 APRIL: Atas sifat keprihatinan terhadap masyarakat, seramai 20 mahasiswa Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak (KPAKK) hadir memeriahkan Karnival Wellness, Welfare, Women (3W), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Seorang wakil mahasiwa, Farisha Amiera Muhammad Taufit, 20, berkata penyertaan mereka pada program terbabit adalah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Antaranya aktiviti yang kami jalankan adalah seperti mewarna menggunakan straw, lastik botol berisi gula-gula dan bola keranjang kanak-kanak.

“Sebenarnya permainan itu lebih kepada pergerakan fizikal yang mampu meningkatkan motor halus dan kasar kanak-kanak itu,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui pada Karnival 3W.

Pada masa sama, beliau berkata, pembabitan mereka pada karnival itu juga dapat mengasah teknik pengajaran yang dipelajari di kolej.

“Hari ini kebetulan ada anak-anak autism, mereka berbeza sedikit dengan anak-anak normal, jadi cara penyampaian dan komunikasi kami dengan mereka perlu lebih kreatif dan berkesan,” katanya.

Kesemua mahahsiwa itu turut membuat persembahan flash mob di awal program terbabit.

Karnival 3W adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggerakkan kesedaran kepada seluruh rakyat Selangor berkaitan isu kesihatan, kebajikan dan wanita.