Categories
AGENDA GLOBAL

Korea Selatan ke arah pendidikan percuma di sekolah tinggi

SEOUL, 19 OGOS: Korea Selatan mengorak langkah pertama ke arah pendidikan sekolah tinggi dengan mengecualikan semua penuntut gred ketiga daripada kos keseluruhan pengajian mereka mulai semester musim luruh, menurut Kementerian Pendidikan pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

Memandangkan kebanyakan sekolah tinggi di seluruh negara itu menyambung kelas pada hari itu selepas percutian musim panas yang lama, kira-kira 439,700 penuntut tahun ketiga sekolah tinggi tidak perlu membayar kos pendidikan semasa semester terakhir merea.

Kementerian itu berkata, faedah yang diperoleh setiap pelajar berjumlah 749,000 won (US$620), termasuk yuran tuisyen, yuran bantuan operasi sekolah dan yuran buku teks.

Program pendidikan percuma itu akan diperluas kepada sejumlah 880,000 penuntut tahun kedua dan ketiga, tahun depan serta 1.26 juta pelajar sekolah tinggi semua gred menjelang 2021.

Bermula 2021, pelajar baharu akan turut dikecualikan daripada membayar yuran kemasukan.

Ketika ini, Korea Selatan menyediakan pendidikan percuma bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pada April, kerajaan Moon Jae-in dan Parti Demokratik yang memerintah bersetuju melaksanakan pendidikan percuma di sekolah tinggi pada 2021.

Ia sebagai sebahagian usaha menjamin hak rakyat bagi mendapatkan pendidikan serta membantu orang biasa mengurangkan perbelanjaan mereka untuk pendidikan.

Program pendidikan percuma akan meliputi semua jenis sekolah tinggi awam dan swasta kecuali sekolah tinggi swasta autonomi, bahasa asing dan seni.

“Pendidikan percuma akan mengurangkan perbelanjaan setiap pelajar sebanyak 1.58 juta setahun, sekali gus membantu isi rumah tempatan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka sebanyak 130,000 won setiap bulan.

“Ini akan memberi manfaat kepada mereka yang bekerja sendiri, peniaga kecil, pekerja perniagaan kecil dan orang biasa lain,” kata seorang pegawai kementerian itu.

-BERNAMA