Categories
BERITA UTAMA

MAS: Isu teknikal punca penerbangan dari Jeddah lewat

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Penerbangan MH8311 dikendalikan Amal by Malaysia Airlines, yang dijadual berlepas dari Jeddah 1.10 pagi pada 24 Ogos lalu ke Kuala Lumpur, mengalami kelewatan berpanjangan ekoran isu teknikal dihadapi pesawat A380-800 yang mengendalikan penerbangan.

Malaysia Airlines Berhad (MAS) dalam satu kenyataan berkata, masalah itu yang disedari semasa proses menaiki pesawat, tidak dapat ditangani segera dan memerlukan masa yang lebih lama untuk diatasi.

Pada masa sama, krew Amal terpaksa meninggalkan tugas untuk memantau pembatasan jadual penerbangan mereka.

“Keselamatan tetap menjadi keutamaan Amal dan syarikat penerbangan itu amat menyesali kesulitan yang dialami penumpang.

“Amal akan mengendalikan penerbangan membawa pulang jemaah yang dijadualkan berlepas dari Jeddah pada 26 Ogos pukul 9.35 malam dan tiba di Kuala Lumpur pada 27 Ogos pukul 1.15 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 476 jemaah haji Malaysia dipercayai di bawah seliaan Lembaga Tabung Haji terkandas di Jeddah sejak Sabtu lalu, ekoran penjadualan semula waktu penerbangan mereka.

Amal adalah anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group yang menawarkan penerbangan berjadual dan sewa khas ke Jeddah dan Madinah dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Airbus A380 dan A330.

MAS berkata semasa menunggu, penumpang dimaklumkan berhubung perkembangan terkini situasi melalui pengumuman dalam penerbangan dan makanan juga disajikan kepada penumpang.

Memandangkan pesawat itu diisytiharkan tidak dapat digunakan, penumpang dibenarkan turun daripada pesawat dan dipindahkan ke hotel penginapan mereka selepas melalui proses dokumentasi oleh imigresen.

“Kakitangan Tabung Haji sentiasa berada untuk memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Amal mengendalikan 138 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jeddah/Madinah semasa musim Haji 2019 dan 142 penerbangan perantara untuk mengangkut penumpang ke/dari stesen domestik di Malaysia.

-BERNAMA