Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines antara yang pertama uji pas perjalanan IATA

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Malaysia Airlines merupakan antara syarikat penerbangan global pertama yang sedang menguji ‘IATA Travel Pass’ – aplikasi telefon mudah alih bagi pengesahan kesihatan secara digital.

Sebagai persediaan sebelum memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital di aplikasi mudah alih sendiri, Malaysia Airlines menjelaskan ujian ke atas pas perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) itu akan melibatkan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke London bagi tempoh 29 April hingga 27 Mei, 2021.

“Penumpang terpilih bagi perjalanan menerusi penerbangan MH4 pagi ini menjadi yang pertama mendapat akses kepada aplikasi baharu tersebut.

“Ia menyediakan semua maklumat yang perlu diketahui penumpang dalam satu aplikasi mudah dan senang digunakan,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebagai permulaan, hanya penumpang yang menggunakan telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS sahaja yang akan mempunyai akses kepada aplikasi tersebut.

Aplikasi tersebut merupakan langkah seterusnya bagi usaha Malaysia Airlines untuk melancarkan semula perjalanan yang selamat dan terjamin – menerusi kerjasama kerajaan, pihak berkuasa sempadan, rakan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan lain untuk merealisasikannya.

“Ujian tersebut juga dapat membentuk versi akhir Pas Kesihatan Perjalanan Digital syarikat penerbangan ini secara sewajarnya, dengan mengambil kira faktor teknikal dan budaya supaya ia menjadi lebih mesra pengguna dan penumpang,” jelasnya.

Menurut Malaysia Airlines, aplikasi rintis ‘IATA Travel Pass’ akan membolehkan syarikat penerbangan memperkemas, memperbaik dan meningkatkan usaha untuk menjadikan perjalanan lebih mudah diakses oleh penumpang, di samping mengekalkan piawaian pematuhan dan keselamatan tertinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines lanjut kemudahan pelanggan ubah tarikh perjalanan

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Malaysia Airlines menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk menempah semula tiket mereka berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan perjalanan antara negeri.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata ia telah melanjutkan fleksibiliti perjalanan dengan menawarkan kesahan tiket yang lebih lama dengan perbezaan tambang sekali dan perkhidmatan pengecualian fi.

“Penumpang yang layak kini boleh menempah semula tiket penerbangan mereka pada atau sebelum 31 Disember 2021 untuk perjalanan sehingga Jun 2022.

“Sebelum ini, Malaysia Airlines telah menawarkan fleksibiliti kepada pelanggan untuk menempah semula tiket pada atau sebelum 30 Jun 2021 untuk perjalanan sehingga Disember 2021,” katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan itu menggalakkan penumpang merancang tempahan lebih awal untuk perjalanan akan datang bagi memilih tiket ekonomi flex.

“Tiket ekonomi flex bertujuan memberikan proses perjalanan tanpa tekanan dan mudah. Ia dilengkapi dengan manfaat seperti perubahan tarikh tanpa had tanpa dikenakan fi berserta faedah perjalanan lain termasuk bayaran balik percuma tanpa dikenakan fi,” katanya.

Faedah lain adalah fleksibiliti ‘Go Show’ (yang membolehkan penumpang bersiap sedia untuk penerbangan lebih awal pada hari yang sama ke destinasi yang sama), keutamaan daftar masuk dan berlepas dengan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kg.

Seiring dengan normal baharu, Malaysia Airlines akan memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital, ciri yang akan melancarkan perjalanan penumpang dengan dasar berkaitan Covid-19 di seluruh dunia.

“Berikutan Malaysia terus mengenakan arahan kuarantin bagi ketibaan antarabangsa daripada destinasi tertentu, MHholidays, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines menawarkan pakej kuarantin yang didatangkan dengan hospitaliti premium di rakan hotel terpilih.

“Selain itu, pelanggan boleh menjalani proses kuarantin yang baik dan selesa di hotel yang diluluskan Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya tujuh malam,” katanya.

Penumpang yang ingin menempah semula perjalanan mereka boleh membuat perubahan secara dalam talian di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88 3000 (dalam Malaysia) atau +60-3-7843 3000 (luar Malaysia).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pas kesihatan digital pastikan perjalanan selamat pascawabak

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines merancang untuk memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital bagi membolehkan perjalanan udara yang selamat dalam tempoh pasca-Covid-19.

Dalam kenyataan pada Rabu, syarikat penerbangan itu menjelaskan kad kesihatan itu akan menyepadu dengan modul daripada Pas Perjalanan yang dilaksanakan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus membolehkan penumpang membuat pasport digital pada aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.

“Pengenalpastian secara digital ini akan membuka jalan untuk penumpang Malaysia Airlines yang akhirnya memanfaatkan pilihan teknologi tanpa sentuh sepanjang proses perjalanan.

“Penumpang boleh membuat janji temu secara mudah dengan pihak perubatan diperakui yang mengambil bahagian, untuk melakukan ujian Covid-19 RT-PCR atau melampirkan sijil vaksinasi Covid-19 mereka di telefon bimbit, menjadikan proses keperluan perjalanan lebih lancar,” menurutnya.

Pas kesihatan itu juga akan mengesahkan ujian Covid-19 atau keperluan vaksinasi, dan kemudian berkongsi status “OK to Travel’ penumpang dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group, Izham Ismail berkata kaedah itu akan memberi keyakinan kepada penumpang di samping menyediakan akses kepada proses perjalanan yang lancar untuk penumpang bersedia bagi perjalanan.

Naib Presiden Kanan (Lapangan Terbang, Penumpang, Kargo dan Keselamatan) IATA, Nick Careen berkata aplikasi perjalanan IATA merupakan satu penyelesaian yang boleh dipercayai kerajaan dan penumpang sama ada ia berfungsi secara sendirian atau disepadukan dengan aplikasi perjalanan syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines kini bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk melancarkan kad kesihatan dan akan berkongsi butiran lanjut dalam tempoh terdekat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Vaksin Covid-19 pertama untuk Malaysia tiba pagi ini

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Setelah lebih setahun negara ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya pada pagi ini, vaksin yang menjadi harapan dalam menangani wabak tersebut bakal ‘mendarat’ di bumi Malaysia.

Detik bersejarah ini dijangka berlaku kira-kira 10 pagi apabila kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo).

Perjalanan vaksin ini adalah dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu akan berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu akan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), turut meramalkan cuaca pagi dan petang ini di daerah Sepang dan Putrajaya baik iaitu minimum 23 darjah Celcius hingga 33 darjah Celcius.

Dengan ketibaan vaksin tersebut, Malaysia akan dapat memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukan di negara ini dan ia akan dilancarkan dalam tempoh lima hari lagi (26 Feb).

Selaku antara negara terawal di Asia Tenggara selepas Singapura yang akan menggunakan vaksin berkenaan bagi membentuk imuniti terhadap jangkitan virus Covid-19, harapan yang lebih besar bagi 32 juta rakyat Malaysia ialah dapat ‘membebaskan’ negara daripada penyakit itu, supaya situasi kembali seperti sediakala.

Pastinya vaksin yang telah diakui keberkesanannya dan mendapat kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) itu diharap berjaya ‘menampan’ rakyat daripada menjadi mangsa virus berbahaya itu.

Mengikut perancangan, fasa pertama pada 26 Februari ini, penerimanya merupakan petugas barisan hadapan iaitu anggota KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain- lain yang ditetapkan kerajaan.

Sebanyak 600 lokasi vaksinasi seluruh negara telah ditetapkan dengan tujuh vaksinator (petugas menyuntik vaksin) akan disediakan di setiap lokaliti atau kawasan.

Fasa pertama program imunisasi yang bermula Februari hingga April itu akan diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

Pada 11 Januari lepas, perjanjian untuk penghantaran fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b ke seluruh negara dimeterai antara kerajaan, melalui KKM dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) membabitkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung Februari, meliputi 20 peratus populasi Malaysia dengan dua dos seorang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang dibenar buat tempahan semula susulan PKP – Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Malaysia Airlines Bhd menawarkan fleksibiliti kepada para penumpang untuk menempah semula perjalanan mereka dengan perbezaan tambang sekali dan pengecualian yuran perkhidmatan, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri serta larangan rentas negeri yang dikenakan oleh kerajaan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tempahan semula perlu dibuat pada atau sebelum 30 Jun, 2021 untuk perjalanan sehingga 31 Dis, 2021.

“Dengan fleksibiliti perubahan tiket, penumpang dengan semua jenis tiket, termasuk tiket penebusan Enrich, dapat mengubah rancangan perjalanan mereka ke destinasi domestik sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Sepanjang PKP ini Malaysia Airlines tetap beroperasi dengan mengurangkan frekuensi bagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai syarikat penerbangan nasionak dan menyokong pergerakan kargo dunia dengan syarikat penerbangan sekutunya MABkargo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata: “Dengan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara ketika ini, kami menggesa para penumpang mematuhi semua langkah keselamatan yang telah sediakan di luar dan di dalam pesawat, sebagai menyokong usaha kerajaan untuk mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Pada awal penularan pandemik Covid-19, kami menawarkan para penumpang kami dengan pelbagai pilihan perjalanan dan akan terus berbuat demikian, untuk memberi kelegaan kepada penumpang tanpa mengira kelas tambang, termasuk Tambang Lite bahawa tiket mereka tetap layak untuk perjalanan pada masa depan bersama kami,” katanya.

Bagi pengalaman perjalanan yang lebih selamat, katanya, Malaysia Airlines dan syarikat penerbangannya, Firefly dan MASwings memperkenalkan kempen ‘Fly Confidently’ untuk mendidik penumpang mengenai langkah dipertingkatkan dilaksanakan di lapangan terbang dan di dalam pesawat.

“Langkah berkenaan termasuk mewajibkan penggunaan pelitup muka dan kekerapan pembasmian kuman di dalam pesawat bagi pengalaman penerbangan yang lebih selesa untuk memenuhi syarat penjarakan sosial dan sentuhan minimum serta jaminan penapis HEPA pesawat yang terbukti dapat menyaring 99.97 peratus virus di dalam pesawat,” katanya.

Para penumpang yang mahu membuat pesanan semula perjalanan mereka boleh membuat pertukaran secara dalam talian di www.malaysiaairlines.com atau hubungi pusat di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kemudahan MABkargo mampu kendali vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 DIS: MAB Kargo Sdn Bhd (MABkargo) mempunyai infrastruktur mencukupi bagi memastikan pengendalian, pengangkutan dan pengedaran vaksin Covid-19 selamat ke Malaysia atau ke rantau di dalam atau luar daripada rangkaiannya menerusi penerbangan komersial atau penerbangan kargo penuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail berkata dengan rekod prestasinya dengan keupayaan pesawat, infrastruktur lapangan dan kakitangan berkelayakan  dimiliki, MABkargo mampu menyokong kerajaan di seluruh dunia dalam tanggungjawab mengendali, mengangkut dan mengedar vaksin Covid-19 kepada rakyat mereka.

Beliau berkata cabang kargo kumpulan itu mengendalikan tiga pesawat kargo khusus dan menggunakan ruang kargo pesawat penumpang MAB yang mampu menyediakan persekitaran suhu terkawal, sesuai untuk vaksin kebiasaannya memerlukan pembungkusan dan pengendalian pada suhu melebihi tahap sejuk beku.

“Keupayaan kami termasuk kontena peranti muatan unit pesawat (ULD) direka khas untuk mengawet produk sejuk beku pada suhu diperlukannya, operasi lapangan memenuhi syarat untuk mengendalikan produk sensitif terhadap suhu dan masa dengan selamat dan terjamin, dan paling penting, kakitangan  terlatih dan berkelayakan mengendalikan barangan profesional,” katanya.

Beliau turut menyatakan MABKargo sebelum ini pernah mengangkut barangan sensitif terhadap suhu dan masa selain daripada vaksin dan produk perubatan seperti organ manusia serta sampel biologi memerlukan pengendalian serupa.

Sejak bermulanya krisis Covid-19, MABKargo bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pertubuhan badan bukan kerajaan bagi mengangkut lebih 33,000 tan metrik peralatan perubatan serta barangan bantuan bencana ke rantau terjejas di seluruh dunia menerusi 1,067 penerbangan menggunakan pesawat penumpang  dijadikan pesawat kargo dan kargo di kabin, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines bawa wira negara sertai misi pengaman di Lubnan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Malaysia Airlines menerusi penerbangan MH8496 berlepas dari Pangkalan Udara Subang semalam dengan membawa kumpulan ketiga pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) 850-8 menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Menurut kenyataan Malaysia Airlines, kumpulan itu terdiri daripada 215 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Komander Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral (TUDM) Datuk Yazid Arshad.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines Bhd, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata syarikat penerbangan nasional itu berbangga dapat membawa barisan pegawai serta anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan bagi menyertai misi kemanusiaan di Lubnan untuk tahun kedua berturut-turut.

“Penerbangan hari ini (semalam) adalah ketiga daripada empat misi dan menggunakan pesawat Airbus 330-200 yang dikendalikan oleh tiga juruterbang dan 10 anak kapal bagi setiap penerbangan.

“Kami juga sentiasa mendoakan keselamatan semua wira-wira negara yang tetap melaksanakan misi kritikal ini walaupun dalam keadaan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Kumpulan seterusnya bagi Malbatt 850-8 dijadual berlepas ke Lubnan pada 15 November, 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines bawa pulang lebih 20,000 rakyat sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Malaysia Airlines Bhd (MAB) meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas walaupun dalam keadaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat di negeri tertentu.

Setakat ini, syarikat penerbangan nasional itu telah berjaya membawa pulang lebih 20,000 penumpang kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Pada masa sama, usaha itu turut membuka peluang untuk syarikat tersebut melakukan penerbangan ke bandar-bandar baharu di luar rangkaiannya termasuk destinasi di serata Asia, Timur Tengah, Eropah serta Afrika seperti Cam Rahn, Sudan Selatan, Kaherah, Turkmenbashi, Turkmenabat , Dili, Nadi dan Port Moresby yang tidak banyak menawarkan penerbangan komersial.

Setakat ini, MAB telah menjalankan sebanyak 218 penerbangan menyelamat dan membawa pulang mereka terbabit menerusi perkhidmatan berjadual dan sewa khas sejak Mac 2020 dengan menggunakan pesawat jenis A380, A350, A330-300 dan B737-800.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata ini termasuk 168 khidmat sewa khas menerusi kerjasama strategik dengan kementerian-kementerian dan pertubuhan.

“Pengalaman sedemikian mencabar namun menarik kerana membolehkan kami beroperasi di pasaran-pasaran baharu dalam keadaan semasa yang memerlukan aspek keselamatan dan kesihatan serta kawalan sempadan lebih ketat di negara-negara terbabit.

“Bagaimanapun, libat urus secara aktif dengan kedutaan-kedutaan, kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan dan pihak pengawalseliaan telah membolehkan misi itu dapat disempurnakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tempoh sama, syarikat sekutunya, MAB Kargo Sdn Bhd telah bekerjasama dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengangkut lebih 2,000 tan peralatan perubatan dan keperluan bantuan bencana ke wilayah-wilayah terjejas di serata dunia.

“Ini termasuk ventilator, sarung tangan pembedahan dan baju perlindungan diri untuk pelbagai pertubuhan menerusi lebih 50 penerbangan P2C (penumpang berbanding kargo) dan CIC (kargo dalam kabin).

“CIC itu membolehkan syarikat penerbangan membawa kargo di tempat duduk, ruang simpanan atas, almari dan ruang bawah kerusi, bergantung kepada saiz kotak,” katanya.

Pasukan MABkargo juga telah berusaha bagi memastikan semua penghantaran tersebut dihantar mengikut jadual, sekali gus mencatat peningkatan secara berperingkat dari segi angka eksport syarikat itu.

Aliran yang menggalakkan itu turut meningkatkan jumlah berkaitan yang mana angka pada Ogos lepas kini setara dengan paras sebelum Covid-19, didorong oleh pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan penggunaan khidmat penerbangan P2c bagi menampung kehilangan kapasiti ruang simpanan dalam perut pesawat.

Ahmad Luqman berkata permintaan terhadap keperluan perubatan di serata dunia juga turut menyumbang dari segi memastikan pesawat MAB terus beroperasi dan terminal kargo terus aktif.

“Jadual penghantaran kami diselaraskan untuk menepati keinginan pelanggan. Walaupun jumlah penerbangan dalam rangkaian berkurangan, kami terus menyokong rantaian nilai perniagaan harian selain memastikan gangguan dapat diminimumkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM terus terbang tinggi bersama Malaysia Airlines

PETALING JAYA, 29 OGOS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini menandatangani perjanjian lanjutan usaha sama bagi tempoh 2021 hingga 2023 yang menyaksikan syarikat penerbangan itu kekal sebagai rakan penerbangan rasmi skuad Harimau Malaya.

Perjanjian itu, yang ditandatangani antara Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB Lau Yin May, adalah kesinambungan perjanjian selama dua tahun sebelum ini yang berakhir Disember ini

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata lanjutan perjanjian itu menjadi isyarat hubungan kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak meskipun pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk tahun 2020 terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines yang mana mereka tetap mahukan kerjasama yang terjalin selama dua tahun sebelum ini diteruskan lagi bagi tempoh tiga tahun yang akan datang.

“Bagi saya, kerjasama di antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita, Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-56 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kapten Izham Ismail berkata pihaknya teruja untuk memulakan babak seterusnya dalam kerjasama antara skuad bola sepak negara dengan syarikat penerbangan kebangsaan.

“Disiplin dan komitmen pasukan Harimau Malaya mencerminkan keazaman kami dan seluruh rakyat Malaysia untuk turut berjuang mengharumkan nama negara melalui apa saja bidang yang diceburi tidak kira bangsa, usia dan jantina.

“Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha dan terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Khazanah: Sukar untuk Malaysia Airlines, AirAsia bergabung

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Khazanah Nasional Bhd menegaskan bahawa sebarang penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia, sukar untuk dilaksanakan.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata model perniagaan yang berbeza dan budaya kerja yang berlainan membuktikan gabungan dua entiti seperti itu jarang membuahkan hasil.

“Malaysia memerlukan syarikat penerbangan tambang rendah dan syarikat yang menawarkan penerbangan nilai tinggi seperti Malaysia Airlines untuk wujud bersama, berikutan kita perlu memenuhi pelbagai segmen pasaran.

“Oleh itu, saya fikir untuk strategi jangka panjang Malaysia, penting untuk memberikan pilihan yang mencukupi, bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada pelancong luar untuk datang ke negara ini,” katanya dalam program Money Matters terbitan TV3, pada Sabtu.

Khazanah Nasional merupakan pemilik penuh MAB.

Sebelum ini, Shahril dilaporkan berkata Khazanah sedang menunggu pelan pemulihan strategik yang akan dirangka pengurusan Malaysia Airlines.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines lanjut tawaran tambang fleksibel kelas ekonomi

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Malaysia Airlines Bhd (MAB) melanjutkan pilihan tawaran tambang fleksibel kelas ekonomi membabitkan rangkaiannya bermula 22 Jun ini, kecuali bagi destinasi Malaysia ke Jepun dan sebaliknya serta Jeddah dan Madinah.

Pilihan tambang unik itu – Lite, Basic, Flex sebelum ini hanya dihadkan bagi destinasi domestik, ASEAN dan Asia Selatan yang menawarkan aspek fleksibiliti, keselamatan, kelancaran serta pengalaman premium berdasarkan keperluan setiap pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail dalam kenyataan hari ini berkata susulan keadaan yang beransur-ansur pulih daripada pandemik Covid-19 dan orang ramai kembali menaiki pesawat, Malaysia Airlines berhasrat membawa mereka tanpa perlu ada sebarang rasa bimbang.

“Malah, sebagai syarikat penerbangan pertama di rantau Asia Pasifik yang memperkenalkan pilihan tawaran tambang fleksibel di rangkaian sedia ada, ini akan membolehkan tambang itu disediakan mengikut keinginan penumpang.

“Ini termasuk pengalaman tempahan yang mudah berserta hospitaliti Malaysia di dalam serta luar pesawat yang menarik, sekali gus mewujudkan pengalaman perjalanan udara yang lancar dan tanpa tekanan.

“Ia hanya memperkukuhkan lagi komitmen kita untuk sentiasa mengutamakan penumpang, khususnya dalam tempoh tidak menentu yang menyebabkan penumpang tidak berminat untuk melakukan perjalanan udara. Justeru, menerusi pilihan ini, kita berharap dapat menyuntik rasa yakin serta percaya untuk mereka kembali melakukan perjalanan itu,” katanya.

Izham berkata semua penumpang juga berpeluang menikmati kelebihan serta perkhidmatan penuh penerbangan premium serba lengkap dalam tambang yang ditawarkan termasuk bagasi kabin sehingga 7 kilogram, minuman serta makanan/snek percuma selain akses kepada sistem hiburan yang disediakan khas bagi pesawat Malaysia Airlines.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia Airlines tambah penerbangan domestik bulan ini

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Malaysia Airlines menambah penerbangan domestik serta menyambung semula penerbangan antarabangsa mulai Jun dan Julai untuk memudahkan perjalanan penting dalam negeri dan berikutan negara lain membuka semula pintu sempadan mereka.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata ia akan menyesuaikan kapasiti rangkaiannya dari semasa ke semasa untuk memastikan permintaan penumpang dipenuhi, sebelum menyusun semula jadual penerbangan pada Oktober bagi penerbangan domestik dan antarabangsa.

Penyambungan semula perkhidmatan itu akan membolehkan ahli keluarga pulang bertemu ibu dan bapa mereka selepas pelaksanaan sekatan perjalanan di kebanyakan negara di seluruh dunia menghalang mereka untuk melakukannya.

Bagaimanapun, penumpang diingatkan untuk memeriksa syarat masuk dan keluar sebelum melakukan perjalanan kerana sekatan perjalanan masih berkuat kuasa di kebanyakan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan itu menyambut baik penumpang menggunakan semula perkhidmatan Malaysia Airlines.

“Kami akan terus memastikan keselamatan, kesihatan, dan keselesaan mereka dengan memperkenalkan inisiatif baharu seiring dengan protokol keselamatan dan kesihatan antarabangsa sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memberikan ketenangan fikiran penumpang sepanjang perjalanan mereka dengan Malaysia Airlines.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan dan keyakinan mereka yang berterusan sepanjang waktu yang mencabar ini,” kata Izham.

Dalam persekitaran penularan Covid-19, Malaysia Airlines melaksanakan pelbagai langkah dan protokol keselamatan yang dipertingkatkan melibatkan koordinasi dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk memastikan kesihatan serta kesejahteraan penumpang dijaga.

Langkah-langkah ini merangkumi pemeriksaan suhu badan, aktiviti nyahkuman dan pembersihan terhadap semua harta benda serta kemudahan, pelaksanaan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka yang wajib dan pemasangan penghalang skrin pelindung di kaunter daftar masuk dan kaunter lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syarikat penerbangan itu juga akan memastikan semua pesawatnya dibersihkan dan nyahcemar pada setiap penerbangan, sementara tanda akan dipastikan sentiasa bersih sepanjang tempoh penerbangan oleh kru kabin.

Penumpang boleh menempah tiket di https://www.malaysiaairlines.com/my/en.html atau menerusi aplikasi untuk mengurangkan interaksi dan mengelakkan beratur panjang di lapangan terbang.

-BERNAMA