Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB Selangor serah kepada polis siasat kes langgar mati selepas kemalangan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan kepada polis melakukan siasatan terperinci berhubung kes kematian seorang lelaki di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban yang dipercayai akibat amuk.

Amirudin berkata, beliau optimis tidak akan wujudnya unsur perkauman dalam isu itu.

“Tindakan zalim itu memang tidak boleh diterima dalam komuniti tidak kira apa bangsa pun yang melakukannya.

“Saya harap tidak wujud sebarang unsur perkauman dan yang penting tindakan zalim seperti itu harus dilawan atau ditentang semua pihak di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.

Terdahulu, memetik kenyataan Bernama, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari Sabtu lalu di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, motif kejadian adalah berpunca daripada isu kemalangan jalan raya dan tiada kena mengena dengan isu perkauman seperti yang ditularkan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta si mati telah melanggar bahagian belakang kereta suspek yang kemudiannya menyebabkan insiden “kejar mengejar dan cabar mencabar”.

“Kedua-dua individu itu kemudian berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi. Seterusnya berlaku pergaduhan antara suspek dan si mati. Beberapa pemandu lain turut berhenti dan telah mententeramkan kedua-dua mereka. Akhirnya masing-masing kembali ke kereta.

“Namun si mati yang tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu besbol dan terus memukul bahagian depan kereta suspek. Suspek telah memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa lalu terlanggar si mati.

“Mangsa telah tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan. Dia dibawa ke Nilai Medical Centre dan telah meninggal dunia semasa dirawat,” katanya.

Menurut laporan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat dengan menelefon 016-406 4202, atau hubungi balai polis berhampiran.