BANTING, 17 OGOS: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mendenda dua syarikat pemaju akibat tidak mematuhi garis panduan mendirikan struktur bangunan ditetapkannya, baru-baru ini.
Pihak Berkuasa Tempatan itu mendakwa kedua-dua syarikat pemaju mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172),
Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya kesal dengan tindakan segelintir mereka tidak bertanggungjawab mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran secara tidak langsung mengabaikan aspek keselamatan.
Katanya, kelulusan itu amat diperlukan bagi memastikan setiap struktur bangunan dibina menepati piawaian atau garis panduan ditetapkan bagi menjamin keselamatan semua.
“MDKL memandang berat aktiviti pembinaan bangunan tanpa kebenaran dan kini kami dalam proses mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang melakukan kesalahan pemajuan bercanggah dengan Rancangan Tempatan Kuala Langat.
“Kami menyeru pihal berkaitan dalam aktiviti pemajuan tanpa kebenaran, untuk hadir ke Jabatan Perancangan Pembangunan, MDKL sebelum tindakan mahkamah diambil,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, dalam kes pertama, Syarikat Green Prosperity International Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, di atas kesalahan mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran mengikut Seksyen 70 (13) (C) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Syarikat itu dijatuhi hukuman denda oleh mahkamah sebanyak RM8,000 atau satu bulan penjara berserta satu perintah temesti mahkamah untuk merobohkan struktur berkenaan dalam tempoh 10 bulan.
Manakala, bagi kes kedua, Kenwingston Pristine Sdn Bhd didakwa membabitkan kesalahan pemajuan membabitkan tanah dan bangunan tanpa mengikut Rancangan Tempatan bawah Seksyen 18 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan disabitkan kesalahan bawah Seksyen 26(1)(a) Akta sama.
Mahkamah Majistret Teluk Datok kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 ke atas Kenwingston Pristine, atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.