Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar gantung diri tertekan banyak kerja sekolah

GEORGE TOWN, 25 OGOS: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu bertindak menggantung diri di dalam bilik air rumahnya di Flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau dekat sini semalam selepas mengadu kerja sekolah yang terlalu banyak.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian kira-kira 10.55 malam itu, remaja berkenaan masuk ke dalam bilik air rumahnya untuk mandi.

Dia bagaimanapun tidak keluar dari bilik air selepas kira-kira 30 minit sehingga menyebabkan bapanya curiga dan bertindak membuka pintu bilik air.

“Sebaik berjaya membuka pintu bilik air, lelaki itu mendapati anaknya dalam keadaan tergantung dengan kain tuala sebelum mangsa diturunkan dan diberikan bantuan pernafasan oleh ayahnya.

“Mangsa dikatakan muntah sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Che Zaimani berkata, pelajar itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan pemeriksaan mendapati kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata, temu bual bersama ibu bapa mangsa juga mendapati, anak bongsu daripada dua beradik itu sering merungut kerana kerja sekolah yang terlalu banyak.

“Pada malam kejadian, ibu remaja itu memintanya menyiapkan kerja sekolah selepas mendapat panggilan telefon daripada guru sekolahnya yang mendakwa mangsa tidak menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

-BERNAMA