Categories
BERITA UTAMA

Pembakaran terbuka tiada nokhtah punca jerebu teruk

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Pembakaran terbuka di sekitar Lembah Klang terutama di kawasan pembinaan dan perbuatan masyarakat yang membakar sampah serta membuang puntung rokok sesuka hati memburukkan keadaan jerebu.

“Saya sendiri sudah membuat laporan berhubung pembakaran terbuka di Pandan Jaya, namun masalah berkenaan masih belum selesai,” kata anggota Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, masalah jerebu yang kini melanda negara perlu ditangani secara komprehensif oleh semua pihak, termasuk meningkatkan kerjasama dengan negara jiran bagi mengurangkan jumlah “hotspots” yang disebabkan oleh kebakaran hutan dan pembakaran terbuka.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa terutamanya Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) perlu meningkatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku.

“Seperti kes sebelum ini, kerajaan Malaysia seharusnya menghantar para petugas dan menyediakan aset yang boleh digunakan untuk memadam kebakaran hutan termasuk pesawat yang boleh melepaskan bom air dan melakukan pembenihan awan,” katanya.

Lam Thye berkata, bomba mempunyai pengalaman luas dalam menangani kebakaran hutan terutamanya di kawasan hutan bakau di Pahang dan Johor yang menjadi kering dan mudah terbakar pada musim panas.

Selain bomba, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga mempunyai aset yang sesuai untuk membantu memadam kebakaran hutan terutamanya di kawasan pedalaman.

Katanya, syarikat perladangan Malaysia juga perlu memastikan tidak ada pekerja mereka terlibat dalam pembakaran terbuka di dalam dan luar negara, manakala semua pihak perlu menghentikan pembakaran terbuka kerana ia boleh memburukkan keadaan jerebu.

“Orang ramai yang melihat sebarang kebakaran atau pembakaran terbuka seharusnya menghubungi pihak berkuasa terutamanya JBPM dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Pada Khamis, jerebu dilaporkan melanda negara susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia melibatkan Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

-BERNAMA