OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 13 OGOS: Kesedaran terhadap tuberkulosis atau batuk kering (tibi) perlu dipertingkatkan supaya rakyat lebih cakna, sekali gus melaksanakan langkah pencegahan lebih awal.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr B Venugopalan berkata, jumlah kematian akibat tibi semakin meningkat di Selangor dengan merekodkan 367 kes, pada 2018.
Katanya, lebih membimbangkan ada antara pesakit tibi gagal menyempurnakan sesi rawatan yang perlu dijalani selama enam bulan.
“Kita menjuarai kes tibi pada 2018 apabila merekodkan 5,071 kes dengan 367 kematian.
“Daripada jumlah itu, 553 kes atau 11 peratus daripadanya cicir rawatan selama enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan sesi pembentangan pertama mengenai penyakit tibi pada Sesi Kedua Dialog Bajet 2020 dengan tema Membudaya Komuniti Sihat Ke Arah ‘Selangor Maju Bersama’ di Hotel Concorde, hari ini.
Menurutnya, kemiskinan, kelewatan melakukan ujian saringan awal, peningkatan golongan warga emas dan pemakanan antara faktor peningkatan jumlah pesakit tibi.
Dr Venugopalan menjelaskan, lambakan warga asing di negara ini hanya menyumbang sekitar 15 peratus punca penyakit tibi dan selebihnya adalah sikap masyarakat sendiri.
Dalam pembentangannya, beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberikan insentif RM500 untuk enam bulan bagi membolehkan pesakit menamatkan sesi rawatan serta menampung kos pengangkutan dan sara hidup.