Categories
AGENDA GLOBAL

Rakyat Malaysia ditahan di India bersama berlian RM1.3 juta

NEW DELHI, 4 OGOS: Seorang lelaki Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, semalam kerana cuba menyeludup masuk berlian bernilai 22.5 juta rupee (RM1.34 juta) ke India.

Pegawai Unit Perisikan Udara India (AIU) menyoal siasat lelaki berusia 48 tahun itu setelah tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur dan menjumpai uncang mengandungi berlian dalam bagasinya.

Mereka bertindak atas maklumat bahawa batu permata itu mungkin diseludup dari Malaysia, kata AIU dalam satu kenyataan.

Dua uncang putih ditemui di dalam pakaiannya manakala lapan uncang lagi disembunyikan dalam periuk di dalam bagasinya yang didaftar masuk.

Kesemua 10 uncang itu mengandungi 55 kantung kecil berzip di mana berlian berkenaan disembunyikan.

Polis India menyiasat lebih lanjut perkara itu, kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Saravanan Karathihayan kepada Bernama pada Ahad.

Lelaki itu memberitahu pihak berkuasa India bahawa dia sepatutnya menghantar berlian itu kepada seseorang di luar lapangan terbang.

Namun, tiada sesiapa yang datang mengambil barangan itu apabila dia dibawa keluar dari lapangan terbang sambil diperhatikan oleh pihak polis dari jarak tertentu.

– BERNAMA