SHAH ALAM, 8 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap empat EXCO Kerajaan Negeri di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.
Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata, mereka ialah EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim dan EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau.
Turut menghadap EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.
“Terdahulu, baginda menerima permohonan untuk menghadap daripada Chang Khim pada 25 Julai 2019.
“Namun, baginda hanya memberi perkenan untuk mereka menghadap sebaik sesi sidang Dewan Undangan Negeri selesai,” kata kenyataan itu yang disiarkan di Facebook Selangor Royal Office.