Categories
PBT SELANGOR

Tukang urut tawar khidmat seks terbongkar, 32 diberkas

PUCHONG, 22 OGOS: Memperagakan wanita warga asing dengan pakaian menjolok mata di pentas berlatarkan cermin, adalah antara taktik digunakan premis perkhidmatan urut bagi memancing pelanggan khasnya lelaki hidung belang.

Taktik sedemikian sering menjadi tumpuan di dua premis beroperasi tanpa permit sah di Bandar Puteri Puchong di sini, yang berselindung di sebalik pusat urut dan refleksologi itu dipercayai menyediakan perkhidmatan urutan batin dan seks sebagai pemuas nafsu pelanggan.

Bertindak atas aduan awam, kegiatan maksiat itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melakukan serbuan serentak di dua premis terbabit, pada jam 5 petang semalam.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, seramai 32 tukang urut wanita warga asing termasuk tiga lelaki warga tempatan, yang leka melayan pelanggan berjaya diberkas dalam operasi selama hampir tiga jam itu.

Katanya, 23 daripada tukang urut berkenaan adalah dari Vietnam, Indonesia (empat), Thailand (tiga) dan Laos (dua).

Tukang urut wanita warga asing ditahan untuk dibawa ke IPD Serdang ketika Operasi Jabatan Penguat kuasa MPSJ di Bandar Puteri, Puchong pada 21 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita melakukan risikan terhadap kegiatan ini memandangkan mereka (pemilik) ada modus operandi seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan lapisan pintu yang ketat dengan keselamatan sehingga menyukarkan kita untuk membuat penguatkuasaan.

“Kebanyakan tukang urut ini melakukan urutan batin kerana kita menemui kondom di bilik tertentu, malahan tilam digunakan juga bukan untuk tujuan urutan tetapi sebaliknya.

“Tingkat pertama premis digunakan untuk mempamerkan gadis-gadis, namun urutan dilakukan di tingkat atas dan mereka menggunakan pintu rahsia seperti dinding untuk melarikan diri sekiranya diserbu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Zulkurnain berkata, operasi disertai 25 anggota dan pegawai penguatkuasa MPSJ bertindak memecahkan sekatan di setiap bilik premis terbabit bagi menghalang kegiatan seumpama itu dijalankan pengusahanya.

Katanya, pihaknya juga menyita beberapa peralatan digunakan untuk mengurut seperti bantal dan tilam selain tindakan penutupan terhadap premis berkenaan.

“Kita mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2013 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen sah serta denda RM1,000.

“Selain itu, tindakan penguatkuasaan dikenakan di bawah Seksyen 79 Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu kesalahan membuat sekatan dinding di dalam premis dengan denda maksimum RM500,” katanya.

Kesemua wanita warga asing berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi siasatan lanjut.