Categories
BERITA UTAMA

Usaha pecah belah muafakat PAKATAN Selangor kerja sia-sia

SHAH ALAM, 10 OGOS: Usaha memecah belahkan muafakat kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) disifatkan kerana ‘iri hati’ terhadap pencapaian cemerlang pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, tindakan propaganda yang dicetuskan pihak tertentu perlu dihentikan segera kerana ia sia-sia dan tidak mendatangkan hasil.

“Selangor adalah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar nasional dengan nilai RM91.2 bilion atau 23.7 peratus, pada 2018.

“Segala khabar angin yang dimainkan tidak memberi kesan, malah ia menguatkan lagi permuafakatan kerajaan untuk terus tekad memberi fokus membangunkan agenda Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan.

Dr Daroyah berkata, kepimpinan Amirudin akan terus diyakini dan mendapat sokongan penuh bukan sahaja daripada PAKATAN negeri, malah juga pembangkang.

“Wanita KEADILAN Selangor tekad akan terus bersama-sama Dato’ Menteri Besar memajukan negeri ini, seiring dan sederap memberi khidmat serta keutamaan kepada rakyat.

“Kebelakangan ini, banyak kedengaran khabar angin yang bertujuan mengganggu kestabilan pentadbiran Selangor, termasuk pertukaran Dato’ Menteri Besar dan pemecatan Speaker Dewan Negeri Selangor.

“Malah, majlis pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) semalam juga dijadikan isu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Wanita KEADILAN menyokong penuh usaha giat Amirudin dan Mohamed Azmin serta pimpinan lain yang bekerja keras dalam mengangkat ekonomi juga martabat rakyat.