Categories
AGENSI SELANGOR

246 asnaf fakir terima bantuan nelayan dari LZS

SHAH ALAM, 21 SEPT: Seramai 246 asnaf fakir di negeri ini menerima bantuan berupa kelengkapan nelayan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), pada 19 September lalu.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, bantuan berjumlah RM3,000 itu bertujuan membantu mereka meningkatkan produktiviti terutama dalam aktiviti nelayan.

“Mereka menerima bantuan berbentuk jaring dan gajet Sistem Kedudukan Global (GPS) yang diuruskan pembeliannya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

“Penerima bantuan kali ini terdiri daripada nelayan dari daerah Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Pelabuhan Klang dan Sungai Besar,” kata LZS dalam paparan di Facebook.

Sementara itu, salah seorang nelayan, Hairi Abdul Wahab, 47, menzahirkan kesyukuran di atas bantuan diberikan LZS kepada mereka.

“Terima kasih kepada LZS yang banyak membantu keluarga kami, dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak membantu nelayan untuk melakukan kerja di perairan laut,” katanya.