Categories
AGENDA GLOBAL

466kg syabu dari Thailand cuba diseludup ke Malaysia

BANGKOK, 25 SEPT: Polis Thailand menemui kira-kira 466 kilogram (kg) dadah dalam bentuk kristal methamphetamine atau syabu yang dibungkus dalam paket-paket teh, selepas trak yang membawanya terbalik dalam satu kemalangan di Phetchaburi, bahagian tengah Thailand, Jumaat lepas.

Kemalangan berlaku semasa trak berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan membawa dadah itu ke sempadan Malaysia-Thailand, dan susulan penemuan itu, polis menahan pemandu trak berumur 18 tahun itu bersama bapa saudaranya yang berumur 55 tahun.

Kedua-dua mereka yang mengalami kecederaan ringan dalam insiden kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan) itu kini berhadapan dengan dakwaan cubaan menyeludup dadah ‘ice’ bernilai sekitar 225 juta baht yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

Komander Jabatan Narkotik Wilayah kawasan ke-tujuh, Pol. Maj. Kitsana Subdech berkata, beg-beg teh itu ditemui disorokkan dalam guni-guni makanan haiwan.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua mereka diupah antara 800,000 dan 900,000 baht bagi menyeludup dadah berkenaan dari Wilayah Chainart ke selatan Thailand.

“Suspek mendakwa mereka telah menyeludup kira-kira setengah tan dadah itu beberapa kali sebelum ini menggunakan laluan yang sama, namun mereka mendakwa tidak tahu siapa dalan sindiket penyeludupan itu,” katanya di sini semalam.

Kedua-dua mereka dipercayai diupah bagi membawa dadah berkenaan ke kawasan sempadan sebelum satu lagi sindiket memungutnya dan membawa dadah itu masuk ke Malaysia.

Sementara itu biro Thailand Narcotics Suppress (NSB) berkata sejak Oktober tahun lepas sehingga September tahun ini, polis Thailand merampas pelbagai jenis dadah bernilai 57.51 bilion baht dan menahan 364, 857 suspek.

Dalam satu kenyataan, biro itu berkata, dalam tempoh yang sama polis turut merampas aset bernilai 3.06 bilion baht yang berkaitan dengan penyeludupan dadah.

Antara yang dirampas termasuk dadah dari jenis pil Yaba berjumlah 512 juta biji, dadah ‘ice’14.88 tan, Heroine (822 kg), Ganja (13.912 tan), cocaine (24 kg) dan Ketamine (723 kg).

– BERNAMA