Categories
AGENDA NASIONAL

Henti aktiviti luar jika jerebu semakin buruk

IPOH, 4 SEPT: Semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan jika keadaan jerebu di negeri ini semakin buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, bagaimanapun ketika ini keadaan jerebu di beberapa kawasan terutama di daerah Manjung masih berada dalam keadaan terkawal.

“Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri akan mengeluarkan arahan dan kenyataan berkaitan jerebu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Pegoh di sini, hari ini.

Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia, bacaan indeks pencemaran udara setakat 9 pagi ini di Taiping ialah 90; Tasek, Ipoh ialah 86 serta Seri Manjung iaitu 81 dan semuanya dikategorikan sebagai sederhana.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, seramai 33,771 murid di seluruh negeri menduduki UPSR yang bermula hari ini.

-BERNAMA