Categories
AGENSI SELANGOR

Jom Shopping SMUE bermula, manfaat 17,340 warga emas & OKU

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) mula membuka tirainya, semalam.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor, Gan Pei Nei berkata, program Jom Shopping SMUE itu mula dilaksanakan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sementa, Tanjung Sepat, Sungai Tua dan Pandan Indah.

Katanya, melalui program itu seramai 17,340 warga emas dan OKU yang lahir pada bulan ini bakal menikmati manfaat baucer beli belah RM100.

“Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE yang bermula bulan ini sehingga Disember depan.

“Justeru, adalah diingatkan program ini akan dilaksanakan mengikut bulan kelahiran ahli,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, sehingga kini seramai 317,932 warga emas dan OKU mendaftar di bawah skim SMUE.

“Kerajaan Negeri komited dan amat prihatin dalam memastikan kebajikan warga emas dan OKU terjaga. Semoga dengan pemberian baucer beli belah ini dapat menjadi salah satu aktiviti keluarga yang dapat merapatkan hubungan kekeluargaan selain memberi hadiah kelahiran bermakna buat mereka,” katanya.

Pendaftaran SMUE boleh dibuat dimana-mana pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang terdekat dengan kawasan tempat tinggal.

Sebarang pertanyaan berhubung SMUE, sila hubungi Careline YAWAS di talian 03-5481 8800.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan penjajaran semula skim terbabit yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom ‘Shopping’ Warga Emas.