Categories
ADN SELANGOR

208 individu terima baucar Jom Shopping SMUE

SHAH ALAM, 18 NOV: Seramai 208 individu menerima baucar Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, semalam.

Sumbangan itu diserahkan oleh Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli di Pasaraya Tesco, Kuala Selangor.

Katanya, sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu merupakan penghargaan kepada warga emas yang lahir pada bulan November.

“Sumbangan ikhlas ini adalah inisiatif daripada Kerajaan Negeri yang sentiasa peduli rakyat selain membantu meringankan beban mereka.

“Walaupun sumbangan ini tidak besar jumlahnya namun saya berharap ia dapat memberi sinar kegembiraan kepada warga ini,” katanya.

Pendaftaran SMUE boleh dibuat dimana-mana pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang terdekat dengan kawasan tempat tinggal.

Sebarang pertanyaan berhubung SMUE, sila hubungi Careline YAWAS di talian 03-5481 8800.

Berdasarkan rekod, sehingga kini seramai 317,932 warga emas dan OKU mendaftar di bawah skim SMUE.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 5,000 warga emas DUN Selat Klang terima Jom Shopping SMUE

KLANG, 30 SEPT: Seramai 5,800 warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang bakal menerima Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) secara berperingkat.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pemberian baucer RM100 itu akan mengikut bulan kelahiran golongan berkaitan bermula September ini.

“Jom Shopping SMUE ini adalah salah satu produk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas dijenamakan semula pemberian khairat kematian.

“Ini membuktikan keprihatinan Selangor kepada warga emas yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemberian Jom Shopping SMUE, di Pasaraya Econmart di sini, hari ini.

Penerima memilih barangan keperluan harian ketika Program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang di Econmart Sungai Bertih Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang itu berkata, pemberian berkenaan juga bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri.

Beliau turut berharap warga emas yang menerima manfaat itu dapat berbelanja dengan berhemah mengikut keperluan.

Pada program itu, seramai 128 warga emas menerima baucer pada peringkat pertama bagi DUN berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta setahun untuk program terbabit dan semua warga emas berdaftar layak menerimanya bermula September ini.

Menerusi langkah ini, Kerajaan Negeri menjangkakan lebih 200,000 warga emas akan dapat menikmati manfaatnya di sepanjang hidup mereka.

Pelaksanaan program terbabit akan dibuat secara berperingkat mengikut bulan kelahiran masing-masing.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jom Shopping SMUE bermula, manfaat 17,340 warga emas & OKU

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) apabila program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) mula membuka tirainya, semalam.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor, Gan Pei Nei berkata, program Jom Shopping SMUE itu mula dilaksanakan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sementa, Tanjung Sepat, Sungai Tua dan Pandan Indah.

Katanya, melalui program itu seramai 17,340 warga emas dan OKU yang lahir pada bulan ini bakal menikmati manfaat baucer beli belah RM100.

“Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE yang bermula bulan ini sehingga Disember depan.

“Justeru, adalah diingatkan program ini akan dilaksanakan mengikut bulan kelahiran ahli,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, sehingga kini seramai 317,932 warga emas dan OKU mendaftar di bawah skim SMUE.

“Kerajaan Negeri komited dan amat prihatin dalam memastikan kebajikan warga emas dan OKU terjaga. Semoga dengan pemberian baucer beli belah ini dapat menjadi salah satu aktiviti keluarga yang dapat merapatkan hubungan kekeluargaan selain memberi hadiah kelahiran bermakna buat mereka,” katanya.

Pendaftaran SMUE boleh dibuat dimana-mana pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri yang terdekat dengan kawasan tempat tinggal.

Sebarang pertanyaan berhubung SMUE, sila hubungi Careline YAWAS di talian 03-5481 8800.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan penjajaran semula skim terbabit yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom ‘Shopping’ Warga Emas.