Categories
AGENSI SELANGOR

Kembara Sukses Hijrah Selangor tinjau kejayaan usahawan

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kembara Sukses Hijrah Selangor 2019 yang diadakan hari ini di sekitar Kapar dan Puchong bertujuan meninjau potensi kejayaan usahawan dibawah bimbingan mereka.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, lawatan itu diadakan untuk menghargai dan mendekati usahawan yang berjaya memanfaatkan pinjaman diberikan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, antara usahawan terpilih adalah Pengusaha Kedai Gunting Rambut Bros Barber Shop, Syed Faisal Mustafa Kamalu, Pengusaha Bengkel Motosikal Dar Al Shop Motor, Abdullah Muhammad Zainuddin dan Pengusaha Restoran Mio’s Kitchen, Mior Amin Badalishah.

“Melihat kepada potensi ketiga-tiga anak muda ini, kita bercadang untuk membuka tawaran melantik mereka sebagai Syarikat Peneraju Hijrah (Anchor Company) yang akan membimbing usahawan baharu seperti ibu tunggal, kumpulan asnaf, belia dan siswa yang berminat memulakan perniagaan melalui Skim Khas Zero to Hero.

“Melalui inisiatif ini, mereka diberi tugas untuk membimbing usahawan baharu dalam selok belok perniagaan manakala kami di Hijrah Selangor akan memberi pinjaman untuk golongan terbabit memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Sidang Media sempena Lawatan Kembara Sukses Hijrah 2019 di Restoren Mio’s Kitchen, Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Mansor berkata, seramai 72 usahawan pelbagai bidang dicalonkan sebagai usahawan berjaya dan angka itu meningkat berbanding 34 pencalonan pada tahun lalu.

“Pencalonan ini kita lakukan berdasarkan pemilihan dari 22 cawangan seluruh Selangor dan daripada itu, 13 orang berjaya dipilih menjayakan program ‘Success Story Hijrah 2019’.

“Saya kagum melihat kejayaan dan semangat usahawan ini yang bermula secara kecil-kecilan dan Alhamdulillah perniagaan mereka semua kini maju dan mempunyai banyak cawangan,” katanya.

Program Success Story Hijrah 2019 adalah usaha yayasan untuk mendokumentasikan pencapaian usahawan Hijrah dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang dalam perniagaan serta menyumbang kepada pembangunan Selangor.