Categories
EXCO SELANGOR

Pembiayaan Go Digital bantu usahawan, elak salah guna

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan skim pembiayaan Go Digital kepada usahawan mengikut kesesuaian perniagaan mereka, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata beliau berharap penerima tidak salah guna bantuan itu dan berusaha memajukan perniagaan masing-masing.

“Inisiatif ini bertujuan memudahkan golongan tersebut membeli alat telekomunikasi selaras hasrat Kerajaan Negeri mahu melahirkan lebih ramai usahawan digital.

“Kita harap dana diberikan ini tidak disalah guna sebaliknya dapat dimanfaatkan ke arah yang sepatutnya,” katanya pada program bual bicara yang disiarkan di Facebook malam tadi.

Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyasarkan 3,000 usahawan mendapat manfaat melalui skim pembiayaan Go Digital antara RM1,000 hingga RM50,000 tahun ini.

Skim pinjaman ditawarkan bukan memfokuskan usahawan sedia ada malah juga kepada peniaga di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Komuniti Belia Selangor (SAY).

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah galak lebih ramai mohon skim NaDI

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 48 individu sudah memohon Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) sejak dibuka pada 1 Januari lalu.

Pemangku ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata majoriti pemohon menjalankan perniagaan makanan selain peniaga kosmetik, peralatan bayi dan pakaian.

Menurutnya, skim yang diumumkan menerusi Pakej Kita Selangor itu terbuka kepada semua usahawan dan individu yang mahu memulakan perniagaan di negeri ini.

“Rebutlah peluang ini kerana syarat-syarat untuk mendapatkan pinjaman daripada RM1,000 hingga RM5,000 sangat mudah.

“Skim NaDI membantu anda memulakan atau meneruskan perniagaan sebagai sumber pendapatan keluarga, lebih-lebih lagi sepanjang musim pandemik Covid-19,” kata Normaiza Yahya.

Mereka yang berminat menyertai Skim NaDI boleh mendapatkan borang permohonan di cawangan pejabat Hijrah Selangor atau blh merujuk di talian 03- 55191692 atau layari www.hijrahselangor.com.

Pada Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari mengumumkan skim NaDI menerusi Pakej Kita Selangor.

Jumlah peruntukkan awalan sebanyak RM10 juta bakal membantu peniaga mendapatkan
pelan pinjaman minimum RM1,000.

Categories
AGENSI SELANGOR

100 sertai ‘Zero To Hero’, langkah awal ceburi bidang niaga

SHAH ALAM, 20 NOV: Hampir 100 individu menyertai program ‘Zero To Hero’ sebagai langkah menjana pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pemangku ketua pegawai eksekutif Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata peserta terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk golongan terkesan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 98 permohonan diterima hingga Oktober. Bilangan ini meningkat 2.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sejak ditubuhkan 2016 hingga bulan lalu, 694 peserta menyertai program ini dengan melibatkan 56 syarikat bertanggungjawab memberi latihan dan kursus kepada peserta mengikut kepakaran bidang masing-masing,” kata Normaiza Yahya kepada SelangorKini hari ini.

Dengan dibantu syarikat pakar dan berkebolehan, beliau menasihati peserta mengenal pasti minat serta kecenderungan terlebih dahulu bagi memudahkan potensi diri dikembangkan serta menjamin kejayaan dalam perniagaan diceburi.

Program ‘Zero To Hero’ melaksanakan konsep melatih dan memantau peserta yang dikendalikan syarikat peneraju terpilih.

Selepas tamat tempoh, peserta layak diberi peluang membuat permohonan pinjaman HIJRAH sementara syarikat peneraju membekalkan peralatan dan bahan perniagaan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Usahawan muda disaran manfaat dana Hijrah Selangor, kembang niaga

SHAH ALAM, 19 NOV: Golongan belia yang mahu mengembangkan perniagaan disaran memohon peruntukan di bawah Yayasan Hijrah (Hijrah) Selangor, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri komited melahirkan ramai usahawan baharu atau yang memerlukan modal tambahan untuk meningkatkan pendapatan sekali gus memacu ekonomi Selangor.

“Dunia hari ini memerlukan belia pantas merebut peluang ditawarkan sekiranya tidak mahu ketinggalan. Sekiranya ada skim atau peruntukan yang kerajaan berikan, terus ambil jangan lepaskan peluang.

“Kita mahu pastikan pembangunan belia di negeri ini terus diperkasa melalui pelbagai jenis bantuan, tajaan mahu pun pembiayaan,” katanya pada program bual bicara anjuran Suara Merdeka semalam.

Melalui Belanjawan Selangor 2021, Hijrah Selangor menerima peruntukan RM15 juta bagi membantu usahawan membuat pinjaman.

Setakat ini Hijrah menyalur pinjaman RM517 juta bagi membantu 53,958 usahawan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2021: Hijrah jangka 1,000 usahawan dapat manfaat

SHAH ALAM, 31 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menganggar lebih 1,000 usahawan baharu bakal menerima manfaat menerusi peruntukan pinjaman RM15 juta pada tahun hadapan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Normaiza Yahya berkata inisiatif itu memberi peluang kepada golongan itu memulakan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau juga berharap peruntukan tersebut juga dapat membantu usahawan beranjak ke arah pendigitalan perniagaan.

“Hijrah Selangor berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas peruntukan dan ia membolehkan penyaluran modal dengan mudah, cepat serta tidak membebankan kepada usahawan,” katanya pada 31 Oktober.

Melalui Belanjawan Selangor 2021, Hijrah Selangor menerima peruntukan RM15 juta bagi membantu usahawan membuat pinjaman. Sehingga kini, Hijrah menyalur pinjaman RM517 juta bagi membantu 53,958 usahawan.

Selain itu, Normaiza berkata inisiatif e-dapur 2.0 serta e-pembekalan peruncit mikro dan kecil yang akan dilaksanakan turut membantu usahawan negeri ini.

“Kita pernah melaksanakan e-dapur 1.0 dan usahawan yang menyertainya amat berpuas hati, malah menerima keuntungan tidak dijangka.

“Sudah pasti dengan pelaksanaan inisiatif baharu ini akan mendorong usahawan bergerak lebih maju,” katanya lagi.

Categories
EXCO SELANGOR

Kolaborasi AIBIM-Hijrah Selangor bantu usahawan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Gandingan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan Hijrah Selangor dilihat satu program yang positif bagi membantu usahawan mendapatkan pinjaman perniagaan mereka.

EXCO Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, gandingan itu supaya usahawan di Selangor khususnya dapat memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, kerjasama itu membabitkan gabungan 26 institusi perbankan Islam dan ia adalah inisiatif dibawah Invest Selangor yang memulakan usaha terbabit.

“Kolaborasi itu menunjukkan bahawa potensi bagi peminjam Hijrah Selangor untuk melakukan pinjaman dengan jumlah yang lebih besar akan lebih cerah.

“Ramai dalam kalangan peminjam saya lihat mereka berasakan masuk ke dalam program ini dengan hanya pinjaman kecil-kecilan sudah memadai.

“Walhal apabila mereka menceburi program ini sebenarnya potensi untuk mengembangkan perniagaan amat besar sekali gus memudahkan kita membuat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Graduasi Program Transformasi Kewangan Usahawan Selangor di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Pada masa sama, Rodziah optimis peminjam tidak hanya bergantung semata-mata dengan Hijrah Selangor sebaliknya cuba berusaha merebut peluang yang ada.

Katanya, beliau kagum dengan insiatif Hijrah Selangor yang bukan sahaja menyediakan pinjaman seperti sebelum ini namun turut memberikan bimbingan usahawan ke arah meningkatkan pendapatan mereka ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, mengulas berkenaan Pembentangan Belanjawan Persekutuan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Rodziah menyifatkan ia komprehensif dan matang.

“Perkara besarnya adalah meransang ekonomi dan sudah tentu ransangan ekonomi itu menjurus kepada melahirkan ramai usahawan.

“Malah, usahawan luar bandar juga kita meletakkan hasrat dan memberi penumpuan kepada mereka supaya ia boleh ditingkatkan dan dibantu,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kembara Sukses Hijrah Selangor tinjau kejayaan usahawan

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kembara Sukses Hijrah Selangor 2019 yang diadakan hari ini di sekitar Kapar dan Puchong bertujuan meninjau potensi kejayaan usahawan dibawah bimbingan mereka.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, lawatan itu diadakan untuk menghargai dan mendekati usahawan yang berjaya memanfaatkan pinjaman diberikan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, antara usahawan terpilih adalah Pengusaha Kedai Gunting Rambut Bros Barber Shop, Syed Faisal Mustafa Kamalu, Pengusaha Bengkel Motosikal Dar Al Shop Motor, Abdullah Muhammad Zainuddin dan Pengusaha Restoran Mio’s Kitchen, Mior Amin Badalishah.

“Melihat kepada potensi ketiga-tiga anak muda ini, kita bercadang untuk membuka tawaran melantik mereka sebagai Syarikat Peneraju Hijrah (Anchor Company) yang akan membimbing usahawan baharu seperti ibu tunggal, kumpulan asnaf, belia dan siswa yang berminat memulakan perniagaan melalui Skim Khas Zero to Hero.

“Melalui inisiatif ini, mereka diberi tugas untuk membimbing usahawan baharu dalam selok belok perniagaan manakala kami di Hijrah Selangor akan memberi pinjaman untuk golongan terbabit memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Sidang Media sempena Lawatan Kembara Sukses Hijrah 2019 di Restoren Mio’s Kitchen, Bandar Kinrara, di sini, hari ini.

Mansor berkata, seramai 72 usahawan pelbagai bidang dicalonkan sebagai usahawan berjaya dan angka itu meningkat berbanding 34 pencalonan pada tahun lalu.

“Pencalonan ini kita lakukan berdasarkan pemilihan dari 22 cawangan seluruh Selangor dan daripada itu, 13 orang berjaya dipilih menjayakan program ‘Success Story Hijrah 2019’.

“Saya kagum melihat kejayaan dan semangat usahawan ini yang bermula secara kecil-kecilan dan Alhamdulillah perniagaan mereka semua kini maju dan mempunyai banyak cawangan,” katanya.

Program Success Story Hijrah 2019 adalah usaha yayasan untuk mendokumentasikan pencapaian usahawan Hijrah dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang dalam perniagaan serta menyumbang kepada pembangunan Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

HIJRAH-MDEC meterai MoU rancak program usahawan

SHAH ALAM, 25 JUL: Hijrah Selangor (HIJRAH) dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi merancakkan lagi program pembangunan keusahawanan di negeri ini.

MoU ditandatangani Pengerusi Eksekutif Yayasan HIJRAH, Dato’ Mansor Othman dan Pengarah ‘Enabling Ecosystem’ MDEC, IR Wan Murdani Wan Mohamad di Dewan Jubli Perak.

Pemeteraian MoU yang disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari itu dijangka membolehkan 800 usahawan HIJRAH menerima kursus e-usahawan secara percuma.

Sementara itu, Amirudin menyatakan keyakinanya terhadap kepakaran yang dimiliki MDEC mampu memberi manfaat besar khususnya buat usahawan Selangor.

“Usahawan Selangor harus mengambil manfaat ini bagi meningkatkan usaha dan seterusnya ‘go beyond comfort zone’ bagi menjadi usahawan berjaya di rantau Asia Tenggara.

“Ini selari dengan hasrat dan visi Kerajaan Negeri menjadi negeri pintar serantau (Regional Smart State) menjelang 2025,” katanya dalam ucapan.

Sementara itu Mansor berkata, kerjasama yang merangkumi tiga komponen itu juga akan membabitkan latihan kepada kakitangan terpilih bertujuan membantu usahawan dalam memberi tunjuk ajar serta sebagai tempat merujuk sekirannya berdepan permasalahan perniagaan mereka selain masalah modal.

“Kerjasama ini juga membolehkan wujudnya Pusat e-Dagang Setempat melalui cawangan terpilih untuk para usahawan mendapatkan kursus atau latihan anjuran MDEC secara percuma,” katanya.

Untuk rekod, HIJRAH telah menerima peruntukan dana pembiayaan sebanyak RM186 juta sejak penubuhannya pada 2015.

Sehingga kini, HIJRAH berjaya membantu lebih dari 50,000 peserta meningkatkan pendapatan serta melebarkan lagi golongan menengah di negeri ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

HIJRAH-kariah masjid jalin kerjasama tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 25 JUL: Hijrah Selangor (HIJRAH) melebarkan ‘sayapnya’ apabila menjalinkan kerjasama dengan kariah masjid bagi membolehkan ekonomi kelompok berkenaan terus ditingkatkan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mansor Othman berkata, bagi menyahut permintaan golongan yang belum berniaga, Skim ‘Zero To Hero’ diperkenalkan dan salah satu golongan sasarnya adalah kariah masjid.

Katanya, institusi agama itu dipilih berdasarkan kepada fungsinya yang tidak terhad untuk tujuan ibadat semata-mata.

“Sebaliknya pada zaman Rasulullah SAW, masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran dan kegiatan ekonomi.

“Oleh kerana itu, kita melihat masjid adalah sebagai perantaraan bagi menyalurkan informasi yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Taklimat Perdana Masjid Peringkat Daerah dan Majlis Menandatangani Surat Kerjasama Hijrah dan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Hadir merasmikan program berkenaan ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut sama, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mansor berkata, masjid dari daerah Petaling dan Gombak dipilih sebagai perintis dalam menyebarkan maklumat selain mengambil idea baru dari jawatankuasa masjid.

Katanya, HIJRAH yakin dapat membantu bakal usahawan dari kalangan anak kariah yang ingin menjana ekonomi dengan menjadikan syarikat peneraju yang dilantik sebagai pembimbing.

“Hari ini, HIJRAH mengadakan taklimat bersama 126 wakil kariah masjid. Ia akan menjadikan titik permulaan bagi menaiktaraf kariah masjid dalam menjana ekonomi serta dapat memberi lebih motivasi agar mereka ini menjadi tunggak dalam mengimarahkan masjid di kariah masing-masing.

“Perancangan dan penelitian telah dibuat dan kita akan mengumpulkan kariah masjid yang memerlukan sokongan dan bantuan Kerajaan Negeri melalui HIJRAH,” katanya.

Sehingga kini, HIJRAH berjaya membantu lebih dari 50,000 peserta meningkatkan pendapatan serta melebarkan lagi golongan menengah di negeri ini.

Categories
SELANGOR

KoHijrah sasar wujud di setiap Parlimen

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Hijrah Selangor (HIJRAH) berhasrat mahu mewujudkan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) Shop di setiap 22 Parlimen di Selangor pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Dato’ Mansor Othman berkata, usaha itu akan cuba dilaksanakan bermula tahun ini secara berperingkat.

“KoHijrah Shop menjual peralatan keusahawanan khususnya untuk usahawan HIJRAH dan masyarakat secara umumnya.

“KoHijrah Shop juga bercadang mahu menjual produk dihasilkan usahawan HIJRAH dan sekali gus berhasrat mahu mewujudkan ia di setiap kawasan Parlimen Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, semalam.

Pada masa sama, Dr Mansor berkata, HIJRAH berjaya melangkah ke hadapan dengan perasmian Wisma KoHijrah selepas tiga tahun penubuhan sejak 11 April 2016.

“Dalam usia agak muda, KoHijrah mampu mengumpul pendapatan sejumlah RM3.7 juta dengan keahlian 11,000 orang.

“Saya mengajak lebih ramai usahawan HIJRAH untuk menjadi ahli KoHijrah kerana gerakan koperasi terbukti memberi manfaat yang banyak kepada ahlinya dan turut menumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Antara projek dilaksanakan KoHijrah adalah pembekalan ‘Food Truck’; ‘Mobile Food Cart’; penjualan ‘Vending Machine’; projek pembelian getah dan KoHijrah Shop.

Categories
SELANGOR

MB: Tidak mahu HIJRAH dianggap ahlong

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak mahu masyarakat menganggap skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) seolah-olah seperti ahlong berlesen.

Beliau berkata, tugas HIJRAH bukan sekadar mengutip dan memberi pinjaman sebaliknya ia adalah program pembangunan untuk melahirkan usahawan komprehensif dan berdaya saing.

“Saya tidak mahu HIJRAH dianggap seolah-olah ahlong kecil berlesen yang hanya tugasnya untuk mengutip dan memberi pinjaman namun kita berhasrat menubuhkan satu unit bersepadu seperti institusi pembangunan keusahawanan secara menyeluruh.

“Tanpa kita sedar di Selangor terdapat beberapa unit program pembangunan usahawan yang masih boleh dianggap komprehensif dan membantu antaranya seperti Dana Usahawan Mikro Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32 di sini, semalam.

Difahamkan, HIJRAH adalah program Mikrokredit Bersepadu hasil cetusan daripada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan menggabungkan skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang mula dilaksanakan sejak 2010 sebelum dirasmikan penubuhannya pada 2015.

Untuk rekod, pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM25 juta bagi kesinambungan perlaksanaan program mikrokredit HIJRAH.

Manakala, RM428,167,500 jumlah keseluruhan pembiayaan dikeluarkan HIJRAH sejak penubuhannya pada 2015 hingga Januari tahun ini membabitkan 53,802 pinjaman kepada 44,734 usahawan di Selangor.

Categories
SELANGOR

HIJRAH salur RM428.17 juta pembiayaan sepanjang empat tahun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Hijrah Selangor (HIJRAH) sudah menyalurkan RM428,167,500 jumlah keseluruhan pembiayaan kepada usahawan yang layak sejak mula ditubuhkan pada 2015 hingga Januari tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu membabitkan pembiayaan sebanyak 53,802 pinjaman kepada 44,734 usahawan di Selangor.

“Jumlah itu meningkat kerana ia membabitkan peserta yang meminjam secara berulang atau lebih daripada sekali pinjaman.

“Ia sekali gus membuktikan bahawa inisiatif dan inovasi diperkenalkan Kerajaan Negeri menerusi pemberian pinjaman bawah skim mikrokredit HIJRAH kepada usahawan di Selangor berkembang sihat walau baru sahaja berusia lebih kurang empat tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, semalam.

Berdasarkan rekod, HIJRAH adalah program mikrokredit bersepadu yang membantu meningkatkan taraf ekonomi usahawan kecil supaya boleh terus maju daripada satu peringkat kepada yang lebih baik.

Skim itu bukan sahaja menyalurkan pinjaman kepada usahawan, namun ia turut menyediakan perkhidmatan profesional bagi tujuan memberi latihan kemahiran dan pemasaran supaya peserta menjadi usahawan berwibawa serta berdaya saing.

Selain itu, HIJRAH turut melaksanakan program ‘Zero To Hero’ iaitu dengan melantik syarikat peneraju berpotensi membantu melaksanakan program ‘Mentor Mentee’.

Sehingga kini, sebanyak 30 syarikat peneraju dilantik memberikan bimbingan dan pantauan selama enam bulan manakala HIJRAH memantau serta memastikan perniagaan setiap usahawan maju.