Categories
AGENSI SELANGOR

Mayat lelaki ditemui dalam longkang

SHAH ALAM, 1 SEPT: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemui dalam longkang berhampiran Jalan Persiaran Anggerik Renantanda, Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis Baharudin Mat Taib berkata, mayat itu ditemui seorang peniaga pasar selepas terhidu bau busuk dalam longkang berkedalaman 2.7 meter itu kira-kira 8.30 pagi tadi sebelum dimaklumkan kepada polis.

“Lelaki ki itu memakai t-shirt biru gelap bertulis Emirates dan seluar panjang gelap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal ke atas mayat mendapati, terdapat tiga kesan tikaman dengan objek tajam pada perut mayat yang dianggarkan berusia 30-an.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA