Categories
AGENDA NASIONAL

Perkongsian infrastruktur perkhidmatan rangkaian jimat kos

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Perkongsian infrastruktur melalui landasan atau perkhidmatan sedia ada memberi manfaat kepada pemain industri daripada segi penjimatan kos terutama di kawasan pedalaman dan penggunaan sumber dengan lebih cekap.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataan turut menyambut baik kerjasama antara syarikat penyedia perkhidmatan rangkaian dan kemudahan Fiberail Sdn Bhd and edotco Group Sdn Bhd dalam menyediakan perkhidmatan infrastruktur yang neutral-telko.

“Inisiatif itu selaras objektif Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta akan membantu pelan tindakan di bawah NFCP untuk memastikan akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dimanfaati oleh rakyat,” katanya.

Gobind turut berharap kerjasama itu boleh menyumbang kepada inisiatif menyediakan perkhidmatan rangkaian yang memberi 100 peratus liputan kepada penduduk di kawasan sejajar dengan koridor landasan kereta api serta saluran lain yang mana Fiberail mempunyai aset fiber.

“Lebih ramai pemain industri digalakkan untuk mengemukakan cadangan dan bekerjasama serta berkongsi infrastruktur mereka dalam penyediaan perkhidmatan rangkaian yang lebih cekap dan kos efektif untuk membantu usaha kerajaan untuk menjayakan NFCP,” katanya.

-BERNAMA