Categories
AGENDA NASIONAL

Tambahan 300,000 unit dekoder percuma untuk B40, OKU

KOTA KINABALU, 20 FEB: Kerajaan menyediakan 300,000 unit dekoder digital myFreeview yang akan diberikan secara percuma kepada kumpulan isi rumah B40 dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo.

Katanya, 300,000 unit dekoder tersebut adalah tambahan kepada dua juta unit yang telah diperuntukkan sebelum ini, dan kos RM30 juta bagi penambahan dekoder percuma itu, ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kami menyedari masih terdapat permintaan rakyat untuk mendapatkan dekoder percuma ini. Sebagai kerajaan prihatin, kami memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan ini,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Dekoder myFreeview kepada isi rumah B40 dan OKU di sini hari ini.

Majlis berlangsung di Kompleks Komunikasi dan Multimedia Malaysia Sabah itu, turut dihadiri Ketua Pegawai Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Gerard Lim Kim Meng dan Ketua Pegawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) Mazlan Mahdi.

Program penyerahan itu akan berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu, dengan kira-kira 3,000 dekoder percuma myFreeview akan diagihkan kepada isi rumah B40 dan OKU berdaftar.

Gobind berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf keperluan rakyat, terutama dalam kalangan B40 dan OKU, dalam meniti arus perkembangan digital, sekali gus komited merealisasikan konsep Kemakmuran Bersama menerusi inisiatif itu.

“Ini bagi merapatkan lagi jurang digital, selain usaha menaik taraf kehidupan golongan kurang bernasib baik di seluruh negara, sekali gus memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mengakses informasi secara mudah, memandangkan siaran televisyen (TV) digital itu ditawarkan secara percuma, tanpa yuran bulanan,” katanya.

Dalam pada itu Gobind berkata, peralihan Malaysia daripada siaran TV analog kepada siaran TV digital memberi satu anjakan serta peluang, kepada pengamal industri penyiaran dalam usaha mencorak dan mengukir wajah baru dunia penyiaran tanahair.

“Saya menyeru agar penerbit tempatan mengambil peluang untuk menyediakan pelbagai kandungan TV kepada platform TV digital ini,” katanya.

Sementara itu, Gobind dalam sidang media berkata, sebanyak 1.81 juta daripada dua juta dekoder percuma telah diagihkan kepada golongan sasaran di seluruh negara.

Katanya, di Sabah, lebih 170,000 daripada 228,767 dekoder percuma yang diperuntukkan telah diagihkan kepada rakyat yang layak di negeri itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebenarnya.my, agensi berita rasmi diharap tangkis berita palsu koronavirus

PUTRAJAYA, 3 FEB: Peranan yang dimainkan portal ‘Sebenarnya.my’ serta agensi-agensi berita rasmi kerajaan diharap dapat mengekang penularan berita palsu berkaitan koronavirus 2019 yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementeriannya bertanggungjawab dalam memastikan penerangan dan maklumat penting yang benar dan sahih sampai kepada semua lapisan masyarakat terutamanya hebahan mengenai jangkitan itu.

Menurut beliau setakat semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi portal ‘Sebenarnya.my’ telah menangkis dan menjelaskan hampir 30 berita palsu mengenai koronavirus 2019 yang disebarkan di internet.

“Kita tidak mahu berita tidak benar menular di media sosial dan ini merupakan usaha SKMM untuk memperbetulkan keadaan dan saya rasa ianya berjaya menunjukkan keberhasilan.

“Jadi sekiranya kita mahu melihat sesuatu perkara itu benar atau tidak, semua boleh merujuk kepada portal ‘Sebenarnya.my’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri 2020 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, agensi berita rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan bahawa masyarakat mendapat berita dan maklumat yang sahih, ditentusahkan dan terkini mengenai wabak itu.

“Selain daripada laporan berita, pelbagai bahan penyampaian maklumat juga telah digunakan seperti video, kapsul dan infografik kesedaran awam dan langkah-langkah pencegahan dalam pelbagai bahasa,” katanya.

Jelasnya usaha itu penting bagi memastikan rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai koronavirus 2019 dan juga langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mencegah penyebaran virus itu.

Selain itu, katanya, setakat 31 Januari, sebanyak 432 program ‘Info on Wheels’ (IOW) telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Program hebahan bersemuka itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapat pemahaman yang lebih baik daripada pasukan unit hebahan itu jika ada keraguan atau ketidakpastian mengenai koronavirus 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Pastikan maklumat benar sebelum kongsi

PUTRAJAYA, 26 JAN: Semak dahulu maklumat berkaitan 2019 novel koronavirus yang diterima dan pastikan ia benar sebelum dikongsikan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurutnya, semua pihak harus berhati-hati apabila berkongsi sebarang maklumat di media sosial mengenai isu tersebut.

“…tolong semak dahulu maklumat yang kita dapat sebelum kongsi kerana kita lihat dua tiga hari yang lalu banyak paparan telah dikongsikan di mana kemudiannya didapati tidak benar dan palsu. Ia telah menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan kluster 2019 novel koronavirus yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah dilantik menjadi jurucakap mengenai isu virus tersebut.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa mengenai isu itu.

Menurutnya, KKM juga akan mengeluarkan maklumat melalui dua saluran iaitu laman Facebook dan Twitter rasmi milik kementerian itu selain sidang media yang akan diadakan untuk berkongsi maklumat terkini.

“Sekurang-kurangnya sekali sehari kita adakan satu sidang media…jadi sekali lagi saya harap bahawa kita semua dapat lihat perkara ini dengan serius, kita hendak pastikan kita boleh buat yang terbaik,” katanya.

Setakat ini, empat individu disahkan positif koronavirus di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Karya animasi tempatan kini bertaraf dunia – Gobind

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo hari ini mengadakan perbincangan bersama warga industri animasi dan pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Perbincangan tersebut diadakan untuk memahami masalah dan mendapatkan maklum balas serta cadangan, bagi menambah baik proses dan prosedur berkaitan industri kreatif, serta para penggiat filem animasi.

“Karya animasi tempatan yang dihasilkan kini bertaraf dunia dan Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi antara peserta utama dalam industri kandungan digital kreatif global, yang kini dianggarkan bernilai AS$2.4 trilion (RM10.04 trilion),” katanya di laman Facebook dan Twitter beliau, malam tadi.

Gobind turut memuat naik 12 keping gambar berkaitan perbincangan berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama agensi kerajaan, pemain industri jaya pelaksanaan 5G

LANGKAWI, 20 JAN: Kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, agensi dan kementerian yang berkaitan adalah kritikal dalam menjamin kejayaan pelaksanaan 5G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menurut beliau, mendedahkan rakyat Malaysia dengan peluang bagi meraih manfaat kesambungan dan pelbagai teknologi digital sedia ada merupakan tanggungjawab secara kolektif.

“Bagi memudahkan pelaksanaan yang lebih cepat dan menjimatkan kos, adalah penting untuk kami mewujudkan garis panduan dan piawaian yang jelas.

“Saya mahu industri dan agensi kerajaan berkaitan untuk bekerjasama dengan SKMM bagi memastikan pelancaran teknologi 5G ini, ditakrifkan dengan jelas sebagai sebahagian daripada pelan pelaksanaan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia 2020 di sini hari ini.

Gobind menjelaskan lagi, ini sebaliknya akan menyediakan kaedah yang lebih kemas untuk pengenalan perkhidmatan serta produk 5G yang baharu.

Sebagai contoh, garis panduan dan piawaian yang jelas mengenai apa yang membentuk ‘Bandar Pintar’ akan menjamin bahawa penyelesaian boleh diulang dan dilancarkan merentasi beberapa kawasan perbandaran.

Kekurangan piawaian dan garis panduan yang serupa akan menyebabkan pertindihan, peningkatan kos serta ketidakmampuan untuk memanfaatkan penyelesaian yang inovatif di seluruh perbandaran.

Beliau juga menggalakkan pemain industri bagi mengenal pasti cara terbaharu serta inovatif yang akan membolehkan mereka membina dan berkongsi infrastruktur.

Pendekatan ini bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan modal dengan mengurangkan kos serta menghalang penindihan infrastruktur.

Katanya, pembinaan infrastruktur 5G boleh menelan belanja antara RM7 bilion dan RM8 bilion dalam jangka masa sederhana, di samping pelaburan dalam 4G dan LTE.

“‘Pelancaran infrastruktur dan perkhidmatan bukan sesuatu usaha yang sia-sia, sebaliknya, merupakan sebahagian daripada Wawasan Perkongsian Kemakmuran Malaysia.

“Visi ini akan menyaksikan proses penstrukturan semula ekonomi Malaysia untuk berada di atas landasan yang lebih progresif dengan berpusatkan kepada pembangunan untuk semua,” katanya sambil menambah bahawa semua ini akan sukar dicapai tanpa bantuan platform digital, yang mana perkhidmatan boleh disediakan kepada semua lapisan masyarakat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

17 wakil dilantik ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melantik 17 wakil daripada pelbagai organisasi media sebagai ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia (MMC), semalam.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata MMC dianggotai tokoh media cetak, elektronik dan dalam talian, organisasi wartawan media tempatan serta antarabangsa, kesatuan wartawan juga wakil badan bukan kerajaan.

“Jawatankuasa itu berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember tahun lalu yang mempersetujui cadangan penubuhan sebuah majlis media sebagai sebuah badan kawal selia kendiri (self-regulatory body) bagi menjaga kepentingan media dan pengamalnya.

“Keputusan ini satu anjakan besar kerana usahanya mula bergerak setelah lama ditangguhkan dan dibangkitkan buat kali pertama sejak 45 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Gobind berkata jawatankuasa terbabit mempunyai dua bulan untuk membincang dan meneliti penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan serta fungsi MMC.

Katanya, majlis media itu akan memperkasa dan memastikan kebebasan serta hak pengamal media dipelihara selain memastikan etika media yang lebih bertanggungjawab.

“Sebagai sebuah badan yang akan mengawal selia industri media, MMC boleh membuat pemantauan semasa berdasarkan undang-undang serta bertindak berhubung aduan orang ramai mengenai media,” katanya.

Ahli jawatankuasa yang dilantik:

1) Datuk Dr Chamil Wariya (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)
2) Datuk Yong Soo Heong (Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI)
3) Ding Jo Ann (media monitor Centre For Independent Journalism)
4) Datuk Ahiruddin Attan (Presiden National Press Club)
5) V. Gayathry (pensyarah Nottingham University)
6) Kuik Cheng Kang (wakil Editor’s Association of Chinese Medium Malaysia)
7) Tehmina Kaoosji (ahli pengasas Journalists Alliance)
8) Radzi Razak (jurucakap Gerakan Media Merdeka)
9) Ashwad Ismail (wakil Astro Awani)
10) Rozaid A. Rahman (wakil The Star)
11) Jahabar Sadiq ( wakil The Malaysian Insight)
12) Wakil dari Sabah
13) Wakil dari Sarawak
14) Wakil dari National Union of Journalists
15) Wakil dari Foreign Correspondents Club Malaysia
16) National Union of Journalists (NUJ)
17) Foregin Correspondents Club Malaysia (FCCM)

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekal semangat hormat-menghormati

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menyeru setiap rakyat mengekalkan semangat hormat-menghormati antara satu sama lain bagi memperkukuh perpaduan di negara ini.

Beliau berkata sikap seumpama itu akan membolehkan masyarakat menjalani kehidupan yang bahagia dan bertambah maju.

“Kita rakyat Malaysia terdiri daripada latar belakang, budaya dan agama berbeza, tetapi apa yang menjadikan kita masyarakat yang kuat dan rapat adalah kita hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kita perlu mengambil langkah supaya kita boleh pastikan bahawa semua rakyat Malaysia boleh meraikan adat-adat mereka, budaya mereka, keagamaan mereka dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada majlis perayaan Ponggal di Kuil Sri Maha Mariamman di sini, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan perayaan berkenaan ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Dalam nada sama, Lim berkata semangat perpaduan dan toleransi yang ada dalam kalangan masyarakat selama ini perlu dikekalkan.

“Kita meraikan perayaan masing-masing bukan sahaja dengan hati terbuka, malah dengan rumah terbuka juga di mana kita makan bersama-sama. Itulah budaya Malaysia, kita raikan perayaan bersama-sama,” katanya.

Tambahnya, masyarakat majmuk di negara ini tidak sepatutnya terpengaruh dengan pihak tertentu menggunakan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian.

Pada perayaan itu, kedua-dua menteri itu turut menyaksikan nasi manis yang dimasak dengan susu menggunakan periuk tanah sehingga ia melimpah, memberi simbolik limpahan rezeki pada masa hadapan.

Ponggal atau pesta menuai merupakan perayaan utama masyarakat India khususnya bagi golongan petani, dan jatuh pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM rekod pelbagai kejayaan sepanjang 2019

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menempuh pelbagai kejayaan dan pencapaian membanggakan sepanjang 2019 dalam menjamin kebebasan media, membawa badan penyiar rasmi kerajaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke era digital dan mempertingkatkan kelajuan komunikasi negara melalui 5G.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menunjukkan kedudukan media Malaysia melonjak sehingga 22 anak tangga menduduki tempat ke-123 dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019, bukti terdapat ruang untuk media bebas wujud di negara ini.

“Malaysia menduduki tangga ke-145 pada 2018. Di bawah kerajaan baharu, pengamal dan organisasi media lebih bebas menjalankan tugas,” menurut Gobind menerusi muatnaik Pencapaian Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019 dalam akaun Facebooknya hari ini.

Selain itu, pemansuhan Akta Berita Tidak Benar pada 19 Disember lepas turut dilakukan seiring dengan semangat media bebas di negara ini.

Gobind berkata, satu kaji selidik Institut Reuters menunjukkan bahawa RTM adalah jenama media paling dipercayai pada 2019, mendahului agensi penyiaran lain antaranya Astro Awani, NTV7 dan TV3 News.

“Sebanyak tiga program bual bicara yang baharu dilaksanakan termasuk rancangan ‘Pastikan Sahih’ yang bertujuan berkongsi maklumat benar dan membetulkan berita palsu yang tular dalam media sosial,” kata Gobind.

Beliau juga berkata pada Oktober 2019 RTM juga telah beralih daripada siaran analog kepada digital sepenuhnya, menandakan era baharu industri penyiaran negara.

Platform televisyen (TV) digital myFreeview kini menawarkan 14 saluran TV antaranya TV1, TV2, TV3, NTV7, TV Al-Hijrah dan Bernama TV serta enam saluran radio percuma.

Lebih menarik, Gobind berkata buat kali pertama RTM menjadi stesen terrestrial tunggal menyiarkan kejohanan Piala Dunia Ragbi 2019, Kejohanan COPA America 2019, siaran langsung bola sepak Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan liputan Sukan SEA Filipina 2019.

Mengenai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau berkata agensi berita nasional yang ditubuhkan pada 1968 itu turut melalui beberapa transformasi iaitu Bernama Radio kini dikenali sebagai ‘Stesen Berita Bisnes Anda’ yang membawakan berita bisnes terkini termasuk perbincangan bertumpu kepada pembangunan usahawan.

“Bernama TV telah memperkenalkan 12 program baharu merangkumi pelbagai isu, berita semasa serta kandungan lebih berfokus kepada golongan muda. Bernama juga berjaya merangkul dua pengiktirafan pada majlis Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama BrandLaurette Yayasan Jenama Dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NCPF) bernilai RM21.6 bilion yang dilancarkan pada 19 September lepas adalah pelan lima tahun bertujuan menyediakan kesalinghubungan digitial yang mapan, menyeluruh, berkualiti tinggi serta mampu milik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo. Foto BERNAMA

Di bawah NCPF, Gobind berkata, 4.14 juta premis akan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi apabila dinaik taraf kepada gentian optik, pembinaan 213 menara komunikasi baharu termasuk 100 di Sabah dan Sarawak serta harga langganan Streamyx dikurangkan daripada RM110 hingga RM160 kepada RM69 setiap bulan.

“Tawaran khas Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk diskaun RM10 hingga RM15 bagi perkhidmatan mudah alih pra-bayar dan pasca bayar tertentu serta diskaun 50 peratus (daripada RM120 kepada RM60) untuk pendaftaran baharu nama domain.my mulai 1 Januari 2020,” katanya.

Ke arah persiapan pelaksanaan 5G, Gobind berkata sebanyak RM50 juta telah diluluskan di bawah Geran Pembangunan Ekosistem 5G bertujuan menggalakkan lebih banyak projek rintis aplikasi digital.

Pasukan Petugas 5G Kebangsaan telah menyiapkan Laporan Separa Penggal pada 29 Julai lepas dan Laporan Akhir pada 18 Disember lepas selaras dengan terma rujukan mereka bagi mencadangkan pelbagai strategi untuk pelaksanaan teknologi serta ekosistem 5G.

“Inisiatif ‘5G Testbed’ juga dimulakan di Putrajaya dan Cyberjaya bagi menguji kebolehan serta keberkesanan teknologi 5G,” kata Gobind.

Mengenai keselamatan siber, beliau berkata CyberSecurity Malaysia telah diberi pengiktirafan oleh Interpol yang juga badan antara kerajaan bagi menggalakkan kerjasama antara pihak berkuasa polis di seluruh dunia dalam membangunkan Garis Panduan bagi Makmal Forensik Digital Global Interpol.

Tidak setakat itu sahaja, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) juga tidak terlepas pandang perkhidmatan pos dan kurier yang dijalankan Pos Malaysia dengan memperkenalkan inisiatif ‘Alamat Untuk Semua’ di kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan penghantaran surat, bungkusan, bantuan kerajaan dan sebagainya dapat dilaksanakan dengan baik dan efektif. Pada tahun ini (2019), sebanyak 948 alamat rumah berjaya didaftarkan,” katanya.

Sejajar dengan perkembangan e-Dagang, beliau berkata Pos Malaysia memperkenalkan dua program utama iaitu platform penghantaran dalam talian ‘Pos Laju SendParcel’ dan ‘Pos Rider’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM fokus tambah baik aspek komunikasi

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa fokus menambahbaik komunikasi dalam semua aspek selain mengatasi kekurangan yang ada, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

“Bagi saya banyak kerja perlu dilaksanakan. Kementerian saya dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk apa yang kita lihat hari ini dengan fokus kepada ekonomi digital dan kesemuanya bertujuan menaik taraf dan memperbaiki apa yang kita sebut sebagai teknik komunikasi kita.

“Tetapi saya tiada masalah dengan kritikan yang ditujukan kepada saya, saya rasa ini adalah proses demokrasi di mana semua dibenar menyuarakan pandangan masing-masing.

“Pada saya ‘work goes on’ dan kita perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan kita lebih berjaya,” katanya selepas merasmikan 3rd Annual National Malaysian Indian Digital Economy Conference 2019 di sini, hari ini.

Gobind berkata selaku menteri dan pemimpin, beliau perlu mendengar apa jua kritikan untuk mencatatkan kejayaan lebih tinggi.

Beliau mengulas kenyataan seorang anggota perwakilan Amanah dari Sarawak pada Konvensyen Nasional Amanah semalam yang mahu Perdana Menteri menggugurkan beliau daripada portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan.

Berhubung ancaman siber, beliau berkata ia perkara yang menjadi fokus sekian lama lebih-lebih lagi ke arah dunia teknologi dan digital.

“Kita perlu pastikan bahawa selagi kita lihat bagaimana kita boleh mengembangkan rangkaian infra dan sebagainya, kita juga perlu lihat sudut sekuriti,” katanya.

Gobind berkata daripada sudut penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian lain yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

78 peratus akaun media sosial palsu dipadam

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Sejumlah 3,877 akaun media sosial menyamar dikesan dan 78 peratus daripadanya berjaya dipadam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat September lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata faktor utama akaun itu dipadam ialah kerana penciptaan akaun palsu untuk tujuan penyamaran.

“Pemadaman akaun media sosial itu mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan oleh penyedia platform.

“Selain itu, sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber dikesan oleh SKMM dengan 63 peratus daripadanya berjaya dipadam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu jumlah pemilik akaun media sosial yang telah disekat penggunaannya dan apakah sebabnya.

Sementara itu, Gobind berkata kementerian sedang mengkaji bagaimana undang-undang sedia ada dalam menangani masalah akaun palsu dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya harap pada masa akan datang kita boleh lihat undang-undang baharu selewat-lewatnya dalam pertengahan tahun depan tetapi dalam masa sama penguatkuasaan adalah penting, yang bila ada laporan dibuat orang ramai, tindakan hendaklah diambil dengan segera.

“Kami akan buat pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dalam masa terdekat. Kita lihat negara dalam rantau ini telah perkenalkan undang-undang baharu yang lebih ketat misalnya Singapura dan Australia,” katanya.

Gobind berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan R.S.N Rayer (PAKATAN-Jelutong) yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan mengambil tindakan menangani kebebasan berkongsi maklumat yang semakin meningkat pada masa kini terutamanya yang mempunyai unsur fitnah dan palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-Australia meterai perjanjian usaha sama penerbitan filem

PUTRAJAYA, 29 NOV: Kerajaan Malaysia dan Australia hari ini memeterai perjanjian usaha sama penerbitan filem di Sydney, Australia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata industri filem tempatan mendapat faedah melalui perjanjian itu dengan produksi Malaysia akan dianggap sebagai produk tempatan Australia, sekali gus menembusi pasaran negara lain yang menandatangani perjanjian bersama Australia.

Katanya Australia sudah mengadakan perjanjian usaha sama penerbitan filem dengan beberapa negara seperti Kanada, China, Singapura, Itali, Jerman dan United Kingdom.

“Ia juga akan membolehkan kerjasama kukuh yang akan membantu dalam peningkatan kuantiti dan kualiti penerbitan usaha sama antara kedua-dua negara.

“Ini merupakan suatu inisiatif yang baik kerana ia boleh membantu industri kreatif negara kita serta membuka lebih banyak peluang dan ruang perniagaan baharu untuk penggiat industri kita dengan Australia dan negara lain yang berkaitan di masa hadapan,” kata Gobind dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar Australia Senator Marise Payne.

Katanya perbincangan usaha sama itu yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bermula sejak 2007 lagi tetapi tiada sebarang persetujuan rasmi dicapai, sehingga kerajaan baharu mengambil alih di mana langkah perlu sudah diambil untuk menjayakan inisiatif itu.

Selain membantu pembangunan kemahiran kepada produksi tempatan menerusi perkongsian kepakaran, inisiatif itu juga dapat mengurangkan risiko kerugian melalui perkongsian kos produksi oleh penggiat kedua-dua negara, katanya.

Gobind berkata perjanjian usaha sama itu dijangka menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan peluang pekerjaan serta pendapatan kepada syarikat produksi dan perkhidmatan sokongan produksi antaranya syarikat sewaan peralatan, industri perhotelan, syarikat katerer dan sewaan kenderaan pengangkutan.

“Ia juga memberi manfaat yang sama kepada industri sokongan lain yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan industri perfileman negara kita,” katanya.

Gobind berkata kerjasama itu juga membolehkan pertukaran budaya dan kreativiti antara kedua-dua negara melalui pendedahan serta peluang kepada karyawan Malaysia.

“Mereka boleh menonjolkan bakat masing-masing menerusi lakonan, pengarahan, penulisan skrip, penyuntingan dan lain-lain bidang yang berkaitan dengan industri ini juga, dijangka berlaku,” katanya.

Menurut Gobind, perjanjian itu juga mengambil kira mekanisme dan fasiliti layanan percukaian yang sedia ada antara kerajaan Malaysia dan Australia dan akan melibatkan aspek undang-undang dan peraturan sedia ada negara dalam aspek urusan imigresen, pengimportan dan eksport peralatan perfileman serta urusan mendapatkan kebenaran penggambaran.

“Saya berharap ia akan bantu menjana hasil yang lebih produktif dan bermakna untuk Malaysia dan Australia dalam industri perfileman kedua-dua negara,” katanya yang menyambut baik perjanjian usaha sama Malaysia dan Australia itu.

Selain Australia, Gobind berkata KKMM kini sedang berbincang dengan beberapa negara lain untuk melihat prospek kerjasama untuk memperkukuhkan lagi industri perfileman negara di peringkat global di masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Sambutan Deepavali peringkat MPSJ meriah

OLEH ALIFF HAIKAL

PUCHONG, 25 NOV: Sambutan Deepavali peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Taman Kinrara, Seksyen 1 di sini disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 1,000 pengunjung.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata majlis itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara pemimpin, pihak berkuasa tempatan dan komuniti India setempat.

“Program ini juga menjadi landasan terbaik bagi memupuk semangat perpaduan kaum dan ruang untuk bertukar pandangan sesama masyarakat serta berkongsi pengalaman budaya juga keunikan tradisi masyarakat India,” katanya pada majlis berkenaan malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Zon 17, Thomas Low; Ahli Majlis Zon 20, S Mohan; Ahli Majlis Zon 11, C Kavitha dan Ahli Majlis Zon 24, S Thamilarusu.

Selain persembahan kebudayaan, masyarakat turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan jamuan makan malam.

Sementara itu, S Thamilarusu berkata semangat muhibah dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara dapat dipupuk melalui tradisi rumah terbuka.

Beliau juga komited untuk meneruskan program sama pada sambutan perayaan lain bagi menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.