Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor, Kuala Lumpur mula catat kualiti udara tidak sihat

SHAH ALAM, 9 SEPT : Selangor dan Kuala Lumpur mula mencatatkan skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), hari ini.

Setakat jam 8 pagi tadi, bacaan IPU di Johan Setia berada pada paras 147 dan Petaling Jaya (103), sementara di Kuala Lumpur, Cheras mencatatkan bacaan IPU pada tahap 104 dan Batu Muda iaitu 105.

Namun Klang dan Shah Alam juga berada pada tahap berjaga-jaga ekoran bacaan IPU di kedua-dua lokasi berkenaan semakin meningkat dan hampir mencecah paras kualiti udara tidak sihat.

Berdasarkan laporan APIMS juga, empat lokasi di Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (243), Samarahan (202), Sri Aman (244) dan Sarikei (202).

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia, Datuk Alui Bahar berkata, keadaan jerebu boleh bertambah buruk sekiranya kebakaran di Sumatera dan Kalimantan tidak terkawal.

Katanya, risiko cuaca berjerebu dalam negara masih berpotensi berlaku sehingga berakhir tempoh Monsun Barat Daya iaitu pada penghujung September dan awal Oktober.

Potensi negara untuk mengalami cuaca berjerebu rentas sempadan masih tinggi terutamanya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300, berbahaya.

Orang awam boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.