Categories
EXCO SELANGOR

Selangor pergiat kempen larangan guna penyedut minuman plastik

KAJANG, 28 SEPT: Kempen larangan mengguna penyedut minuman plastik dilihat masih lemah ekoran promosinya masih tidak meluas, kata EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Katanya, ekoran itu pihaknya akan memperhebatkan lagi kempen berkenaan dengan mengedarkan lebih banyak poster di kesemua premis minuman dan juga makanan, tidak lama lagi.

“Buat masa ini Kerajaan Negeri tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana kempen ini masih di peringkat awal, oleh sebab itu kesemua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

“Pada waktu ini, kami masih dalam peringkat mendidik masyarakat dan saya berharap supaya mereka peka terhadap kempen ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau 2019 anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sungai Long, di sini, hari ini.

Hee Loy Sian (tiga, kiri) bercakap kepada media selepas Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau Tahun 2019 di SJKC Bandar Sungai Long, Kajang pada 28 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Loy Sian berkata, bermula tahun depan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan meletakkan klausa tiada pemberian penyedut minuman atau straw plastik pada borang permohonan pembaharuan lesen perniagaan.

Katanya, langkah itu bertepatan sebagai penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman plastik di Selangor.

“Kerajaan negeri menggalakkan pengusaha mengambil inisiatif menggantikan straw plastik kepada straw kertas manakala pelanggan pula boleh membawa sendiri penyedut minuman masing-masing jika perlu.

“Langkah ini membantu menggurangkan pencemaran alam sekitar dan masyarakat digalak sama-sama menjaga alam sekitar,” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebulat suara memutuskan semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan.

Premis juga tidak dibenar menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.