Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor hadiri bacaan yasin, tahlil sempena Hari Pahlawan

BUKIT JELUTONG, 20 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor 2019, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Turut mencemar duli berangkat ke majlis bagi memperingati pahlawan yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara itu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan baginda berdua kira-kira jam 12.15 tengah hari disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beberapa tetamu kenamaan turut kelihatan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Majlis dimulakan dengan solat sunat tahiyyatul masjid berjemaah diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Usai bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat, baginda berkenan menyertai ribuan jemaah mendirikan solat jumaat sebelum menunaikan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan Allah berikutan masalah jerebu yang melanda negara.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Mohd Farhan Wijaya ketika membacakan khutbah bertajuk ‘Hargai Perjuangan Pahlawan Negara’ mengingatkan umat Islam supaya semangat perjuangan generasi lalu ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini.

Katanya, pengorbanan pahlawan terdiri daripada ulama masyhur seperti Abd Rahman Limbong, Tok Janggut dan Mat Kilau yang terkorban menggadaikan nyawa dan diri mereka demi perjuangan Islam perlu sentiasa diingati.