Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor hadiri bacaan yasin, tahlil sempena Hari Pahlawan

BUKIT JELUTONG, 20 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor 2019, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, hari ini.

Turut mencemar duli berangkat ke majlis bagi memperingati pahlawan yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara itu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan baginda berdua kira-kira jam 12.15 tengah hari disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beberapa tetamu kenamaan turut kelihatan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Majlis dimulakan dengan solat sunat tahiyyatul masjid berjemaah diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Usai bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat, baginda berkenan menyertai ribuan jemaah mendirikan solat jumaat sebelum menunaikan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan Allah berikutan masalah jerebu yang melanda negara.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Mohd Farhan Wijaya ketika membacakan khutbah bertajuk ‘Hargai Perjuangan Pahlawan Negara’ mengingatkan umat Islam supaya semangat perjuangan generasi lalu ditiup ke dalam setiap jiwa generasi hari ini.

Katanya, pengorbanan pahlawan terdiri daripada ulama masyhur seperti Abd Rahman Limbong, Tok Janggut dan Mat Kilau yang terkorban menggadaikan nyawa dan diri mereka demi perjuangan Islam perlu sentiasa diingati.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambutan Hari Pahlawan September ini

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Penganjuran acara Sambutan Hari Pahlawan tahun ini di peringkat Persekutuan akan diadakan September ini.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat bersempena sambutan itu akan diadakan pada 18 September di Masjid Negara pada 7.10 malam.

“Istiadat perbarisan pula pada 19 September di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada 8.30 pagi manakala khutbah khas dan solat Jumaat pada 20 September di Masjid Negara dijadual pada 1.05 tengah hari,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, perubahan tarikh penganjuran majlis itu daripada tarikh perisytiharan asal pada 31 Julai adalah untuk memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada 30 Julai dan sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi baginda pada 9 September. – BERNAMA