Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M bayangkan pegang jawatan PM tiga tahun

NEW YORK, 27 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Malaysia yang berusia 94 tahun itu berkuasa untuk kali kedua selepas kemenangan gabungan Pakatan Harapan pada pilihan Raya Umum Mei 2018.

“Saya berjanji bahawa saya akan meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun,” katanya dalam satu dialog yang diadakan di Majlis Hubungan Luar Negeri di sini Khamis.

Sepanjang tiga tahun itu, Dr Mahathir berkata, beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara.

Beliau berada di sini untuk menghadiri Sidang ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri berkata, tugasnya sekarang amat berat dan beliau kini bekerja 18 jam sehari.

“Ini kerana saya tidak mempunyai banyak masa,” kata Pengerusi Pakatan Harapan yang terkenal sebagai individu yang rajin.

– BERNAMA