Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam untuk negara kekal berdaulat

PUTRAJAYA, 3 OKT: Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) akan menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, dasar itu juga akan menjadikan rakyat Malaysia bersatu padu serta berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

Ketika melancarkan DKKA itu di sini hari ini, Dr Mahathir berkata, dasar itu juga akan melengkapi Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang merupakan satu dasar payung dalam aspek keselamatan negara.

“Dasar ini dirangka sebagai panduan dan rujukan bagi mendepani pelbagai isu dalam sektor keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar,”katanya.

Dr Mahathir berkata, DKKA amat diperlukan di waktu negara berhadapan dengan ancaman keselamatan yang begitu kompleks dan sukar ditangani dengan cara-cara konvensional.

“Kerajaan bertanggungjawab memastikan aspek keselamatan negara dan rakyat terjamin. Negara yang selamat dan aman akan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan yang kompleks.

“Ancaman ini memberikan satu cabaran yang besar kepada mana-mana kerajaan di dunia bagi memastikan keselamatan negara dan rakyatnya terjamin,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, keselamatan dan ketenteraman awam merangkumi semua aspek dari pemeliharaan kelangsungan perlembagaan dan institusi agama, bangsa dan tanah air; pengukuhan keselamatan sempadan; menjamin keselamatan dan ketenteraman awam; memerangi ancaman dadah; dan melindungi aset dan sasaran penting negara.

Menerusi dasar itu, Dr Mahathir berharap agar isu yang melibatkan pertindihan dasar dan pelaksanaan dapat diselaraskan semula.

Menyatakan Kementerian Dalam Negeri sangat dekat dengannya kerana pernah menerajuinya dari 1986 sehingga 1999, Dr Mahathir berkata, pertumbuhan ekonomi memerlukan suasana yang stabil dan aman untuk berkembang kukuh dan ekonomi sukar untuk berkembang sekiranya negara kucar-kacir atau bergolak.

Beliau berkata, kerajaan telah merangka Wawasan Kemakmuran Bersama dan ia dijadikan asas dalam membangunkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), maka adalah penting bagi semua dasar yang digubal, termasuk dasar keselamatan selari dengan hala tuju dan aspirasi utama negara.

Dr Mahathir berkata, apabila Malaysia di kedudukan ke-16 daripada 163 negara dalam Global Peace Index 2019, satu peningkatan berbanding kedudukan ke-25 pada 2018, walaupun boleh selesa dengan pencapaian tersebut tetapi masih banyak aspek yang perlu diberi tumpuan dan ditambah baik.

“Walaupun kita bangga dengan pencapaian tersebut, yang lebih utama ialah pengurangan kes-kes jenayah serta berupaya membuat rakyat kita rasa selamat tinggal di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, sejak Pilihan Raya Umum ke-14, banyak perubahan berlaku yang memerlukan strategi baharu dalam aspek keselamatan.

Beberapa perundangan berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam turut dikaji termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Perhimpunan Aman 2012, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Kanun Keseksaan 1957 (Perhimpunan Aman), katanya.

Dr Mahathir berkata, ancaman luar menyumbang kepada peningkatan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman negara.

Ia seperti jenayah rentas sempadan khususnya ancaman ideologi dan fahaman yang bertentangan dengan agama, budaya dan perundangan Negara yang membawa kepada keganasan, penyeludupan barangan dan manusia, pelanunan atau piracy, pengubahan wang, budaya songsang dan jenayah terancang, katanya.

“Untuk menangani ancaman-ancaman ini, dasar yang bersifat holistik diperlukan termasuklah menjalin kerjasama strategik di peringkat global,” katanya.

Media sosial misalnya menjadi platform utama memecah belahkan perpaduan kaum dan mewujudkan kebimbangan serta ketakutan kepada rakyat dan ini semua bertujuan untuk mewujudkan ketidakstabilan terhadap kerajaan sedia ada, katanya.

Aktiviti jenayah seperti pengedaran dan penagihan dadah, perjudian haram, gangsterisme, pemalsuan dokumen identiti serta perlakuan jenayah indeks telah menggunakan modus operandi yang lebih kompleks kesan penggunaan teknologi baharu, katanya.

Kekurangan aset dan kemampuan agensi keselamatan dalam mengawal sempadan negara turut menyumbang kepada kemasukan atau peningkatan jenayah dalam negara, katanya.

Dr Mahathir berkata, cabaran dan isu-isu yang semakin kompleks memerlukan pendekatan baharu yang kreatif untuk menanganinya.

Agensi keselamatan, katanya, perlu berubah daripada pendekatan tradisional kepada pendekatan yang berasaskan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan dalam sektor keselamatan.

Penggunaan artificial intelligence atau AI, drone, automasi berasaskan robotik, cloud computing dan internet of things akan berupaya mengurangkan kos dan sumber manusia disamping meningkatkan kecekapan dalam menangani cabaran dan isu-isu keselamatan, katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataanya, berkata, DKKA menggariskan enam teras dan 21 strategi yang akan menjadi panduan serta rujukan utama semua pihak berkepentingan dalam mendepani pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman awam yang kian mencabar pada masa kini.

Antara fokus teras dan strategi DKKA ialah keperluan mempertahankan dan menjunjung Perlembagaan dan institusi utama negara, meningkatkan tadbir urus dan intergriti, memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara serta memerangi gejala dadah, katanya.

Menurut KDN, tema Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama’ dipilih bagi DKKA untuk memastikan keberkesanan dasar itu sebagai sebuah agenda penting bersifat nasional.

– BERNAMA