Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya kepimpinan PAKATAN putus siapa PM

KLANG, 22 OKT: Hanya mesyuarat kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) sahaja yang berhak menentukan siapa selayaknya mengetuai pentadbiran kerajaan masa kini, demikian tegas Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

“Buat masa ini kita (PAKATAN) telah melantik dan mengesahkan jawatan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah tentu tidak ada sebarang tarikh penentu kepada tamat tempoh beliau mengalas tanggungjawab itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menegaskan Tun Dr Mahathir sewajarnya kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal kali ini kerana itu mandat diberikan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Kerajaan PAKATAN tidak mempunyai masalah terhadap isu yang dibangkitkan.

“Siapapun boleh bangkitkan isu ini, kita tiada masalah tetapi walau apapun keputusannya ia bergantung kepada mesyuarat kepimpinan parti,” katanya.