Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PH masih dihargai rakyat – Tun M

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pakatan Harapan (PH) ketika ini masih lagi didukung dan dihargai rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, sokongan rakyat kepada kerajaan masih kuat biarpun terdapat segelintir pihak yang mendakwa rakyat kurang berpihak kepada PH.

“Saya sedar ada pihak yang nyatakan bahawa sokongan rakyat kepada PH ini telah menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus, (tapi) tak tahu dari mana buat kajian ini.

“Tetapi yang saya tahu sendiri banyak orang nak bersalam, ambil gambar… itu bukti sokongan masih ada,” katanya pada sidang media Temu Rapat Bersama Ahli Parlimen PH dan Warisan, di sini, hari ini.

Pengerusi PH itu bagaimanapun berkata, sekiranya terdapat sesuatu kajian dan ia ditanya kepada sebilangan yang kecil, pendapat mereka diambil seolah-olah ia adalah pendapat semua pihak secara keseluruhan dan kerajaan berpendapat ia tidak benar.

Beliau juga berkata, biarpun PH merupakan gabungan empat parti, namun ia dapat kekal sebagai satu kerajaan yang boleh membincangkan segala perkara dan mendapat keputusan yang diterima semua.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, program temu rapat itu diadakan bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dan wakil rakyat dan pada masa sama membincangkan persoalan mengenai dasar kerajaan yang kurang difahami oleh wakil rakyat.

“Pemimpin dapat jelaskan kepada wakil rakyat tentang dasar kerajaan dan lain-lain. Sudah tentu antaranya ialah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 kerana ini adalah satu dasar baharu yang perlu difahami oleh semua pihak. Rakyat juga ingin tahu dan wakil rakyat mesti boleh jelaskan mengenai wawasan baharu ini.

“Inilah kerajaan PH dan dengan adanya temu rapat ini, hubungan antara pemimpin dan wakil rakyat khususnya sudah menjadi lebih baik dan di masa hadapan hubungan ini akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PH kini berjaya mencapai 60 peratus daripada manifestonya sebagaimana dijanjikan oleh gabungan itu semasa Pilihan Umum ke-14.

“Kebanyakan kita tidak membaca manifesto kita sendiri. Kita tidak pernah janji untuk menghapuskan tol, misalnya. Tetapi ini secara umum dianggap sebahagian daripada manifesto kita dan banyak lagi perkara lain yang tidak dibaca dengan teliti dan kadang kala kita terbawa-bawa dengan pandangan pembangkang.

“Menurut manifesto, kita telah mencapai 60 peratus daripada apa yang kita janji. Memang, tidak sepenuhnya, sesetengahnya kita telah capai 100 peratus, yang lainnya pula rendah sedikit peratusannya,” kata beliau.

Tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Perdana Menteri berkata, itu akan dipertimbangkan jika itu yang dikehendaki oleh rakyat, tetapi beliau sekali lagi menegaskan “pertimbang” tidak bererti kerajaan setuju pelaksanaannya.

“Akhbar menggambarkan bahawa kita telah memutuskan untuk menghapus SST (cukai jualan dan perkhidmatan) menggantikan dengan GST dan tentunya pembangkang cukup gembira. Dan memang tugas akhbar untuk menggembirakan pembangkang, itu kita faham,” kata beliau.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula GST jika itu yang rakyat mahu.

GST diperkenalkan pada 1 April, 2015 pada kadar enam peratus, tetapi digantikan dengan SST mulai 1 September 2018.

– BERNAMA