Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Salleh sertai PKR belum dibincang – Anwar

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Permohonan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum dipertimbangkan oleh Biro Politik parti itu, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu telah diterima namun ia belum dibincangkan dalam mesyuarat.

“Kami terima permohonan itu daripada beliau tapi belum bincang dalam mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi temu rapat bersama ahli parlimen Pakatan Harapan dan Warisan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Salleh menerusi kenyataan berkata, beliau memohon menjadi ahli PKR secara dalam talian dan menyerahkan kepada kepimpinan parti itu untuk mempertimbangkan permohonannya.

Katanya, beliau memilih PKR kerana parti itu mengamalkan politik berbilang kaum yang sesuai dengan pegangan dan pendirian politiknya dan juga suasana politik di Sabah.

– BERNAMA