Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Tanjung Piai: Amanah siap siaga pastikan kemenangan PH

PONTIAN, 27 OKT: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memastikan jenteranya bersiap siaga untuk bekerja dan bergerak bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, AMANAH sudah memulakan gerak kerja jenteranya dari peringkat awal dan sentiasa akan memberikan komitmen yang tinggi bagi membantu kemenangan PAKATAN dalam PRK kali ini.

“Saya telah bergerak dan membantu jentera dari peringkat awal lagi dari bilik gerakan dan sebagainya dan kita telah menjadi anggota parti yang benar-benar komited untuk beri komitmen bagi memastikan kemenangan calon PH.

“Saya sendiri telah menghadiri perbincangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan apa lagi yang Amanah perlu bantu dan sumbang dan semuanya untuk kukuhkan jentera.

“(Dan) dari segi calon kita telah adakan perbincangan dan akhirnya kita bersetuju siapapun yang diumumkan esok. Amanah tidak ada apa apa masalah dan kita akan bekerja kuat untuk kemenangan PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Perikanan:Road To HPPNK 2019 di Pusat Perdagangan Pontian di sini hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

-BERNAMA