Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RTS diterus dengan kos lebih murah RM3.16 bilion

JOHOR BAHRU, 31 OKT: Malaysia bersetuju meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) dengan kos terbaru RM3.16 bilion.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kos terbaru itu adalah penjimatan sebanyak 36 peratus atau RM1.77 bilion berbanding kos asal iaitu RM4.93 bilion.

“Kita akan teruskan dengan projek itu dan selesaikan sedikit isu kesesakan lalu lintas.

“Butiran projek akan dibincangkan bersama kerajaan Singapura,” kata Dr Mahathir pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 18 Oktober, Kementerian Pengangkutan Malaysia mendapat kelulusan Kabinet untuk meneruskan projek Laluan RTS dengan perubahan kepada struktur, skop dan spesifikasi projek.

Turut hadir sidang media itu ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew; Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Dengan pengumuman untuk meneruskan RTS, ia sekali gus membuktikan komitmen Malaysia dengan Singapura, kata Dr Mahathir.

“Kita akan patuh pada janji kita. (Projek RTS) ditangguh seketika, sekarang ini kita telah bersedia dan kita akan bina (RTS).

“Cerita kita cakap kita nak menangguh enam bulan lagi… itu surat khabar punya cerita,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Loke dalam satu sidang media berlainan berkata, satu ciri penting dalam struktur projek RTS yang telah disemak semula oleh pihaknya adalah mengenai penglibatan pemaju atau pemilik tanah Bukit Chagar untuk membiayai dan membolehkan projek ini diteruskan dengan kos tanah yang dikecualikan.

“Digabungkan dengan kos pembinaan dan sistem rel yang dioptimumkan, kerajaan berjaya mencapai penjimatan yang ketara sekali gus menjadikannya lebih berdaya maju dari segi kewangan,” katanya.

Katanya, untuk pelaksanaan projek itu, Prasarana Malaysia Bhd (PMB) akan terus kekal sebagai wakil Malaysia dalam syarikat usaha sama pengendali kereta api (JV OpCo) dan turut diberi mandat untuk berbincang dengan syarikat pengendali kereta api Singapura, SMRT untuk memuktamadkan terma di dalam Perjanjian Usahasama.

Sementara itu, bila kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian baharu mengenainya supaya kerja-kerja pembinaan projek dapat dilakukan segera, Loke berkata, ia dijangkakan dapat dibuat pada awal tahun hadapan.

“Kita tidak boleh menjangkakan yang kita membuat satu keputusan hari ini, kita boleh saja esok.

“Terdapat proses yang perlu kita lakukan berhubung pindaan perjanjian dua hala dan terdapat juga beberapa lagi perjanjian yang perlu kita tandatangani.

“Satu daripadanya perjanjian usahavcsama dan perjanjian pembinaan antara Prasarana and SMRT (syarikat pengendali kereta api Singapura). Jadi, kesemuanya terdapat tiga perjanjian yang perlu kita tandatangani dengan Kerajaan Singapura termasuk perjanjian dua hala yang dipinda itu,” katanya.

– BERNAMA